Cari @ Amanz

Teksi terbang semakin hampir menjadi realiti dengan syarikat seperti EHang dan Volocopter telahpun menunjukkan prototaip mereka sedia digunakan di dunia sebenar. Tetapi antara halangan yang perlu diatasi ialah mengintegrasikan lapangan terbang teksi terbang dengan bangunan sedia ada ditengah-tengah bandar.

Urban-Air Port sebuah syarikat tunas rintis dari United Kingdom telah mengumumkan mereka menerima suntikan dana dari Supernal untuk membina 200 hab pengangkutan udara di 65 negara. Supernal ialah syarikat yang dahulunya adalah sebahagian daripada bahagian mobiliti udara Hyundai. Urban-Air Port menyasarkan rancangan mereka dapat direalisasikan dalam masa lima tahun sahaja lagi.

Kesemua hub pengangkutan udara Urban-Air Port boleh menempatkan tempat mendarat untuk teksi terbang dan juga dron mengangkut kargo yang dijangka meningkat kepopularan mereka pada kadar 9% setahun.

Supernal sendiri mempunyai harapan melancarkan kenderaan mobiliti udara mereka menjelang 2028 dengan prototaip Hyundai S-A1  diperlihatkan pada tahun 2020. Tidak seperti Volocopter dan Ehang, Supernal tidak pernah memperlihatkan konsep lapangan teksi terbang mereka sebelum ini. Dengan pelaburan ke atas Urban-Air Port, mereka boleh menumpukan perhatian kepada penghasilan kenderaan terbang sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd