Sewaktu acara Consumer Electronics Show yang berlangsung pada awal bulan ini di Las Vegas, ASUS telah memperlihatkan sejumlah model komputer riba yang telah dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru, dan juga komputer-komputer riba terbaru yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Salah satu daripada peranti yang diperlihatkan ialah ASUS ROG Flow Z13, iaitu konsep peranti tablet gaming yang menggabungkan rekaan tablet seakan sebuah Microsoft Surface Pro yang merumahkan komponen-komponen kelas gaming premium yang berkuasa.
Baru-baru ini, ASUS Malaysia telah membawa masuk sebuah unit tablet ASUS ROG Flow Z13 tersebut, dan kami berpeluang untuk melihat apakah yang membuatkan tablet ini sebuah peranti gaming yang unik dan menawan.
Rekaan
Seperti yang saya katakan sebelum ini, rekaan ASUS ROG Flow Z13 ini kelihatan hampir serupa dengan sebuah tablet Microsoft Surface Pro. Perbezaan paling ketara dapat dilihat daripada warna rangka peranti ini, dan juga saiz paparannya.
Jika Surface Pro memperlihatkan saiz paparan 12.3 inci, ROG Flow Z13 pula dilengkapi dengan paparan bersaiz 13.4 inci dengan pilihan resolusi 3840 x 2400 dan 1920×1200 dengan kadar segar semula 60Hz pada pilihan resolusi tinggi, dan 120Hz pada pilihan resolusi lebih rendah.
Pada tahun ini, ASUS dilihat menggunakan tema “Space Race” untuk sejumlah model komputer riba mereka, dan ROG Flow Z13 ini dilihat sebagai salah satu daripadanya. Rangka Flow Z13 ini diperbuat daripada aloi aluminium 6063 yang bukan sahaja memperlihatkan kemasan yang cantik, tetapi permukaannya tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari apabila disentuh.
ASUS juga dikatakan telah bereksperimen dengan 39 jenis proses pembinaan rangka komputer riba sebelum memilih untuk membina tablet ini dengan cara terbaru itu. Rekaan rangka belakang tablet ini khususnya hadir dengan ukiran garis-garis yang membuatkan tablet Flow Z13 ini kelihatan sebagai sebuah kapal angkasa dengan beberapa butiran unik.
Ini termasuklah teks 18-15-07 06/06 yang merupakan nombor huruf ROG dan juga tarikh pelancaran jenama tersebut, dan sebuah tetingkap yang memperlihatkan rekaan papan induk tablet ini. tetingkap ini juga hadir dengan pencahayaan RGB yang bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk sebuah komputer keluaran Republic of Gamers.
Sebagai sebuah tablet, ROG Flow Z13 ini hadir dengan tapak yang membolehkan tablet ini dibaringkan sehingga 170 darjah, dan tiba dengan aksesori papan kekunci yang boleh dicabut dengan mudah, sama seperti apa yang ditawarkan pada tablet Microsoft Surface Pro.
Spesifikasi
Diperkenalkan bersama-sama siri cip pemprosesan Intel Alder Lake-H di acara CES 2022, tablet ROG Flow Z13 yang kami perlihatkan ini hadir dengan CPU Intel Core i7-12700H dengan 14 teras (8 teras prestasi, 6 teras cekap) dan 20 bebenang kuasa, memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB di dalamnya.
Dari segi penawaran GPU pula, tablet ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050Ti terbina yang membolehkan pengguna menggerakkan permainan pada resolusi Full HD dan 60FPS pada tetapan pertengahan.
Sebagai sebuah tablet gaming, ROG Flow Z13 hadir dengan kemampuan gaming sebuah komputer riba nipis dan ringan yang boleh dibawa kemana-mana sahaja, tetapi apa yang membuatkannya benar-benar menarik ialah sokongan untuk aksesori kad grafik ROG XG Mobile yang merumahkan kad grafik yang lebih berkuasa untuk kebolehan mengolah grafik pada tetapan yang jauh lebih tinggi.
Aksesori ROG XG Mobile diperkenalkan pada tahun lepas bersama-sama dengan komputer riba ROG Flow X13 yang menggunakan rangka kad grafik luaran yang dikuasakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 dan juga hadir dengan sejumlah palam I/O seperti palam USB, LAN dan HDMI yang memanfaatkan teknologi penghantaran data Thunderbolt 4.
Pada tahun ini, ASUS dilihat akan memperkenalkan model ROG XG Mobile baru yang akan menggunakan kad grafik AMD Radeon RX 6850M XT yang mempunyai 12GB memori GDDR6. Sama seperti model ROG XG Mobile tahun lepas, ia turut hadir dengan penawaran pelbagai jenis palam I/O, dengan rekaan yang sedikit berbeza.
Sayangnya apabila kami melihat komputer riba ini, ia dilihat bahawa perisian CPU dan kad grafik ROG Flow Z13 ini masih belum sedia untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden, tetapi kami diberitahu bahawa tidak lama lagi, ASUS Malaysia akan membawa masuk sampel yang lengkap untuk diuji prestasinya.
Pendapat
Ini bukanlah kali pertama ASUS memperlihatkan rekaan tablet gaming berkuasa tinggi. Beberapa tahun lalu, mereka telah memperkenalkan tablet gaming ASUS ROG Mothership yang dikuasakan siri CPU Intel Core i9 dan juga komponen kad grafik berkuasa dengan panel paparan bersaiz dan juga beresolusi tinggi.
Dengan ASUS ROG Flow Z13, syarikat teknologi Taiwan tersebut telah menemui formula untuk memuatkan komponen-komponen berkuasa dalam sebuah tablet yang menghampiri saiz sebuah tablet Surface Pro. Bergantung kepada variasi yang dipilih, ROG Flow Z13 akan hadir dengan pilihan CPU Intel Core i7 sehinggalah Intel Core i9 yang membolehkan tablet 13 inci ini hadir dengan kemampuan sebuah komputer riba pengganti desktop yang sangat berkuasa, khususnya apabila dipadankan dengan sebuah kad grafik ASUS ROG XG Mobile.
ASUS Malaysia mengatakan bahawa mereka menjangkakan bahawa siri tablet gaming ini akan mula diperkenalkan di pasaran Malaysia bermula bulan Mac 2022 kelak. Pengguna dilihat mempunyai pilihan untuk mendapatkan tablet ROG Flow Z13 ini sahaja, ataupun membeli model yang akan tiba bersama-sama dengan aksesori kad grafik XG Mobile yang dikuasakan pilihan kad grafik NVIDIA ataupun AMD kelak.
Bagi saya, ASUS ROG Flow Z13 ini adalah salah sebuah tablet/komputer riba gaming yang cukup unik dari segi rekaan dan penawaran spesifikasinya, dan saya tidak sabar untuk mencuba memainkan permainan-permainan komputer kegemaran saya dengannya apabila ia tiba untuk ulasan kelak.