Cari @ Amanz

Neil Young ialah antara pemuzik paling berpengaruh dengan beliau dimasukkan ke dalam Rock and Roll Hall of Fame sebanyak dua kali. Walaupun beliau tidak begitu dikenali oleh generasi muda, impak beliau kepada muzik moden masih boleh dilihat pada artis lebih muda. Hari ini kesemua lagu beliau telah ditarik dari platform penstriman muzik Spotify dengan hanya segelintir lagu dari runut bunyi filem sahaja boleh distrim.

Tindakan diambil selepas Young memberikan kata dua kepada Spotify sama ada memilih menarik semua kandungan podsiar Joe Rogan atau menarik kesemua katalog muzik beliau. Ini adalah sebagai tanda protes kepada Joe Rogan yang menurut beliau menyebarkan banyak maklumat tidak tepat mengenai pandemik khususnya mengenai vaksinasi. Spotify menzahirkan kekecewaan mereka ke atas Neil Young tetapi masih berharap kandungan muzik beliau boleh dikembalikan di masa hadapan.

Kegusaran Young ini berasas kerana hanya beberapa minggu yang lalu lebih 200 ahli sains dan pengamal perubatan meminta Spotify untuk membuang episod podsiar The Joe Rogan Experience yang mengandungi maklumat tidak tepat mengenai Covid-19. Seruan mereka tidak diendahkan oleh Spotify walaupun ini bukan kali pertama Rogan berhadapan dengan kontroversi.

Pada waktu ini Joe Rogan berjaya menarik lebih 11 juta pendengar untuk setiap episod podsiar yang menjadikan beliau antara hos podsiar paling popular di dunia. Dengan kontrak eksklusif bernilai $100 juta antara beliau dan Spotify, kehilangan keseluruhan katalog Neil Young mendatangkan impak yang kecil jika dibandingkan dengan membuang Joe Rogan. Neil Young mungkin pernah berkata “keep on rockin’ in the free world” tetapi jelas peminat tidak lagi bebas menstrim karya beliau di Spotify.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd