Ini Cara Memindahkan Senarai Main Spotify Ke Platform Penstriman Lain
Effi Saharudin
Di media sosial hari ini ramai pelanggan Spotify yang nekad membatalkan langganan mereka sebagai tanda protes terhadap tindakan mereka menaikkan harga langganan Premium. Di Malaysia harga langganan Premium baharu adalah seperti di bawah.
- Spotify Premium Individu – RM17.50 sebulan
- Spotify Premium Pelajar – RM9.50 sebulan
- Spotify Premium Keluarga – RM27.90 sebulan
- Spotify Premium Duo – RM24.50 sebulan
Tetapi proses membatalkan langganan ini hadir dengan masalah kerana selepas bertahun-tahun menggunakan Spotify, pelanggan pasti mempunyai ratusan lagu yang disukai serta senarai main peribadi yang dihasilkan sendiri. Berita baik bagi anda ialah terdapat pelbagai perkhidmatan yang membantu memindahkan senarai main Spotify ke platform penstriman lain.

Saya sendiri telah berhijrah ke YouTube Music tiga tahu lalu dan menggunakan Tune My Music untuk memindahkan kesemua senarai main dari Spotify ke YouTube Music. Saya pilih Tune My Music skerana ia mudah, menyokong eksport ke pelbagai perkhidmatan lain dan boleh digunakan secara percuma jika senarai anda tidak begitu panjang. Untuk senarai melebihi 500 lagu, anda perlu membayar tetapi saya rasakan berbaloi jika anda nekad untuk meninggalkan Spotify selama-lamanya.

- Pergi ke laman tunemymusic.com/
- Pilih Spotify sebagai platform sumber senarai main lagu yang ingin dieksport.
- Log masuk ke akaun Spotify dan ikut arahan yang diberikan.
- Pilih “Load from your Spotify account” atau masukkan URL open.spotify.com/collection/tracks jika anda hanya ingin mengeksport senarai Liked Songs

- Pilih lagu yang ingin dipindahkan. 500 lagu boleh dipindahkan secara serentak jika anda menggunakan akaun percuma.
- Jika terdapat lebih daripada 500 lagu, anda hanya perlu membayar $7.5 untuk perkhidmatan mengeksport lagu tanda had.
- Selepas lagu-lagu dipilih, tekan butang Select Destination untuk mengekportnya ke platform penstriman lain. Dalam tutorial ini saya memilih YouTube Music

- Proses pemindahan akan memakan masa beberapa minit bergantung kepada jumlah lagu-lagu yang ingin dipindahkan
- Tune My Music akan menujukan jumlah lagu yang belum dipindahkan dengan pilihan membayar untuk melengkapkan proses pemindahan.

- Lagu yang tidak boleh dipindahkan akan dipaparkan oleh Tune My Music selepas usai proses migrasi.
- Buka aplikasi senarai main dipindahkan dan lihat lagu-lagu yang telah berjaya dipindahkan.

Sungguhpun Tune My Music ialah perkhidmatan yang baik, masih terdapat beberapa isu apabila memindahkan lagu. Yang saya sedari ialah sesetengah lagu dikatakan tidak ditawarkan di Apple Music selepas pemindahan senarai main dilakukan. Isu yang sama tidak wujud apabila senarai main dipindahkan ke YouTube Music.
Diharap tutorial ini dapat membantu mereka yang ingin berhijrah dari satu platform penstriman muzik ke satu lagi platform penstriman muzik yang berbeza. Sekali lagi saya ingatkan anda boleh menggunakan Tune My Music untuk melakukan pemindahan senarai main daripada platform penstriman lain dan tidak terhad kepada Spotify sahaja. Saya masih belum menemukan perkhidmatan pemindahan percuma yang boleh dipercayai kerana tidak ingin bertanggungjawab terhadap liabiliti data dicuri pula. Selamat mencuba.