Cari @ Amanz

Impak halangan perdagangan ke atas Huawei semakin jelas kelihatan tahun lalu menurut laporan yang diterbitkan oleh firma penganalisa Omdia. Menurut Omdia, sepanjang 2021 pengeluaran peranti Huawei menjunam sebanyak 81.6% berbanding tahun 2020. Ini adalah penurunan yang mendadak kerana pada tahun 2020 Huawei masih berada di tangga ketiga pengeluar dengan pasaran telefon pintar terbesar dunia dengan 188.6 juta peranti.

Menurut Omdia, Huawei hanya mengeluarkan 35 juta peranti sepanjang 2021. Pada tahun 2020 Huawei memegang 15% pasaran telefon pintar dunia tetapi kini ia menyusut ke 3%. Sementara itu Honor yang kini tidak lagi berada di bawah payung Huawei mengeluarkan 39.8 juta peranti. Tambah memilukan bagi Huawei ialah mereka kini di bawah Motorola dan Realme masing-masing dengan pegangan sekitar 4% pasaran telefon pintar dunia.

Apa yang berlaku kepada Huawei kini menjadi pengajaran kepada pengeluar peranti di China supaya tidak terlalu bergantung kepada teknologi Amerika Syarikat. Selepas perniagaan peranti pintar dan telekomunikasi mereka terjejas, Huawei kini memberikan tumpuan kepada peranti berhubung IoT, kereta elektrik, televisyen pintar dan beg pintar untuk kanak-kanak.

Dengan pentadbiran Joe Biden tidak menunjukkan ia akan menamatkan halangan perdagangan ke atas Huawei dalam masa terdekat, syarikat perlu lebih kreatif untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd