Selepas Meta mengintegrasikan sokongan memberikan reaksi pada siaran di Facebook, lebih banyak aplikasi media sosial lain mula turut serta. Kini kita boleh lihat ia banyak diintegrasikan pada aplikasi permesejan.
Walaupun pengguna iOS sudah lama dapat menikmati ciri ini pada iMessage, pengguna aplikasi permesejan lain boleh memanfaatkan ciri lebih kurang sama ini untuk tidak rasa ketinggalan. WhatsApp sejak Ogos tahun 2021 sudah pun mula menguji ciri ini.

Terkini menurut WABetaInfo, WhatsApp akan mula mengedarkan ciri reaksi dalam versi beta akan datang. Ia dilihat akan tiba untuk kedua-dua pengguna Android dan iOS. Ciri reaksi ini turut akan menyokong mod penyulitan penuh daripada WhatsApp untuk sekuriti pada setiap mesej yang dihantar.
Jika anda berminat untuk mencuba, anda kelak boleh cari fail APK untuk Android kerana pendaftaran beta rasmi sudah ditutup. Pada pengguna iOS, anda mungkin boleh cuba nasib pada TestFlight – jika tiada kekosongan untuk WhatsApp anda turut boleh cuba daftar untuk diuji pada WhatsApp Business.