Cari @ Amanz

Baru-baru ini, sebuah peranti baharu Nokia di bawah siri G telah ditemui menerusi laman penanda aras Geekbench. Ia dikenali sebagai Nokia G21 dan dikhabarkan hadir dengan janaan cip daripada Unisoc. Bukan itu sahaja, peranti kelak juga akan mempunyai memori 4GB RAM dan menjalankan Android 11.

Terkini, giliran rekaannya pula tertiris menerusi ciapan terkini oleh Roland Quandt di Twitter. Ia memperlihatkan peranti ini hadir dengan panel hadapan jenis bertakuk kecil. Panel ini turut dipadankan dengan saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas. Tetapi, kewujudan dagu yang tebal pada bahagian bawah masih kelihatan.

Seterusnya, ia juga mempunyai persediaan tiga kamera utama di belakang yang disusun secara menegak. Terdapatnya tulisan ’50MP’ sekaligus menandakan peranti akan menggunakan sensor utama sebesar 50MP. Kemudian, terdapat juga kemasan berjalur yang menghiasi panel belakang peranti dengan tiga pilihan warna seperti coklat gelap, hijau gelap dan hijau muda.

Tidak ketinggalan, sokongan pengimbas cap jari sisi turut menjadi pilihan Nokia untuk tujuan sekuriti. Buat masa ini, belum ada sebarang butiran lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti.

Sumber : Roland Quandt

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd