Kewujudan siri Nubia RedMagic 7 telah kedengaran sejak bulan lalu, di mana ia bakal menjadi model kemaskini yang seterusnya untuk rangkaian peranti memfokuskan permua daripada jenama berkenaan. Tarikh pelancaran peranti juga terus menjadi tanda tanya sehinggalah hari ini ia dikongsi secara terbuka menerusi perkongsian poster di laman Weibo.

Ia menunjukkan peranti bakal diumumkan secara rasminya pada 17 Februari 2022 dalam sebuah acara pelancaran yang berlangsung di China. Tapi sayangnya, poster berkenaan tidak pula mendedahkan sebarang informasi berkaitan peranti. Ini termasuklah rekaan fizikal dan spesifikasi utama padanya. Namun begitu, Nubia dijangka mengumumkan sekurang-kurangnya dua model berbeza yang terdiri dengan RedMagic 7 dan RedMagic 7 Pro.

Pada masa sama, salah satu daripadanya juga didakwa telah tersenarai di laman Geekbench dengan memori mencapai 18GB RAM, cip Snapdragon 8 Gen1 dan menjalankan Android 12. Terdapat juga spekulasi awal mendakwa barisan peranti ini kelak hadir dengan sokongan kamera di bawah skrin. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Nubia Weibo