Pengeluaran Cybertruck telah ditangguhkan ke tahun hadapan, dua tahun lewat dari tarikh yang dijanjikan oleh Tesla. Walaupun trak elektrik pertama Tesla masih belum dipasarkan, sudah terdapat pelbagai aksesori diumumkan dan terkini Cybercat direka untuk mengubah Cybertruck menjadi bot ataupun hidrofoil.

Kit bot Cybercat terdiri daripada dua pelampung udara yang dipasang pada sisi kiri dan kanan serta motor elektrik yang mengambil kuasa dari pek elektrik trak. Menurut pereka, Cybercat boleh bergerak sehingga kelajuan 41 km/j dengan jarak perjalanan sehingga 185 km. Kit hdrofoil pula membolehkan Cybercat bergerak pada kelajuan lebih tinggi 65 km/j.

Bagi yang berminat, kit dijual pada harga di antara $22,900 (~RM 96,000) dan $42,900 (~RM 179,000) bergantung kepada konfigurasi. Walaupun rekaan serta harga telah diumumkan, pratempahan Cybercat masih belum dibuka memandangkan Tesla sendiri masih belum menjual Cybertruck.