Carian
Elon Musk Mengesahkan Tesla Cybertruck Ditangguhkan ke 2023
January 27, 2022 Effi Saharudin

Awal bulan ini laman Tesla tidak lagi mengatakan Cybertruck akan dilancarkan pada tahun 2022. Ini adalah kali kedua tarikh pengeluaran trak elektrik pertama Tesla ini ditangguh tanpa sebab diberikan. Elon Musk akhirnya mengesahkan pengeluaran Cybertruck mungkin akan hanya dilakukan pada tahun 2023 ketika melakukan panggilan dengan pelabur semalam.

Menurut Musk, tiada model baharu akan diperkenalkan tahun ini kerana isu kekurangan komponen yang masih berlaku. Akibat isu ini pelanggan Tesla mendapati kenderaan yang diterima tidak mempunyai port pengecasan USB kerana kekurangan cip yang mengawal sistem. Dalam acara yang sama Musk turut berkata Tesla menyasarkan pengeluaran 250,000 Cybertruck setahun dan trak berfungsi seperti yang diharapkan dalam ujian yang dilakukan di Gigafactory.

Sejak diumumkan pada tahun 2019, Cybertruck kini mempunyai beberapa pesaing seperti Rivian, Canoo, GMC dan Ford. Tidak seperti Tesla, pengeluar lain menawarkan trak elektrik dengan rekan yang lebih konvensional.

Sumber Reuters

Komen