10 Perkara Menarik Dan Mengecewakan Siri Samsung Galaxy S22

Diterbitkan pada Feb 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung Galaxy S22, Samsung Galaxy S22+ dan Samsung Galaxy S22 Utra dilancarkan lewat malam semalam sebagai peranti mercu utama Samsung untuk separuh tahun pertama 2022. Berita paling menarik mengenai ketiga-tiga peranti ialah sokongan kemas kini empat generasi Android dan kemampuan fotografi yang dipertingkatkan. Tetapi adakah ini sudah mencukupi untuk membuatkan ia peranti yang perlu dibeli tahun 2022?

Bagi memudahkan pembaca melakukan pilihan yang bijak seperti Dik Cerdas, kami menghasilkan senarai 10 perkara menarik dan mengecewakan mengenai peranti siri Samsung Galaxy S22. Di akhir aktikel akan pastinya dapat menilai sendiri peranti ini.

1.Menarik – Cip Snapdragon 8 Gen 1

Bertahun lamanya setiap kali peranti siri Galaxy S dilancarkan di Malaysia kami melihat rungutan dari pembaca yang ingin cip Snapdragon digunakan. Ramai melihat cip Exynos yang ditawarkan kepada pengguna tempatan adalah cip yang tidak sebaik Snapdragon. Tahun ini jurang perbezaan prestasi antara Snapdragon 8 Gen 1 dan Exynos 2200 adalah lebih kecil tetapi apa yang dimahukan pengguna perlu didengari.

Di pasaran Malaysia Samsung Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 ditawarkan. Ini pastinya menggembirakan majoriti pengguna cuma kami yang sebenarnya kecewa kerana terdiri dari golongan minoriti yang inginkan Exynos 2200 tahun ini.

2. Menarik – Kembalinya Galaxy Note dan S Pen Dipertingkat

Kekecewaan terhadap penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 1 sedikit terubat kerana “Galaxy Note” kembali ditawarkan selepas dibatalkan tahun lalu. Samsung Galaxy S22 Ultra mungkin nama yang digunakan tetapi semua tahu peranti ini ialah pengganti kepada Galaxy Note20 Ultra.

Rekaan berkotak dengan S Pen terbina kembali menghapuskan mimpi ngeri menggunakan stylus pada Galaxy S21 Ultra tahun lalu. Ciri menggunakan S Pen sebagai alat kawalan jauh, Air Command dan tiada lagi kerisauan stylus terjatuh dapat dinikmati semula. S Pen telah ditambah baik dengan masa pendam hanya 2.8ms yang membuatkan lakaran digital terasa seperti menggunakan pena serta kertas. Selama kembali Galaxy Note walaupun anda menggunakan nama yang lain tahun ini.

3. Menarik – Pengecasan Pantas Kini 45W

Samsung akur sekali lagi dengan permintaan peminat yang kecewa dengan pengecasan sekadar 25W tahun lalu. Pada Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra, pengecasan lebih pantas sehingga 45W kembali. Ini ialah sistem yang sama seperti yang digunakan pada Galaxy S20 Ultra sebelum ini. Dengan pengecas ini, pengecasan peranti dalam masa sekitar sejam dapat dinikmati.

4. Menarik – Sokongan Kemas Kini Terbaik Untuk Android

Pernah satu ketika Samsung menjadi bahan jenaka kerana kegagalan mereka untuk memberikan kemas kini sistem operasi yang pantas berbanding HTC. Sudah menjadi lumrah menanti sehingga enam bulan sebelum peranti Samsung yang dibeli menerima kemas kini versi Android. Tetapi dengan Project Mainline dan Project Treble kini digunakan oleh semua pengeluar Android rasmi tiada lagi alasan kukuh untuk kelewatan kemas kini.

Semalam Samsung menjadi pengeluar Android pertama yang menjanjikan kemas kini sekuriti peranti sehingga lima tahun dan kemas kini empat versi Android. Dengan peranti mercu sekarang dijual pada harga melebihi RM3000 sebuah, langkah yang diambil Samsung ini akan memastikan peranti dapat digunakan lebih lama dan selamat kerana tiada kerisauan mengenai kerentanan sekuriti.

5. Menarik- Nightography Mempertingkatkan Mod Malam

Sistem kamera pada telefon pintar adalah antara faktor utama pemilihan sesebuah peranti. Dengan media sosial semakin penting untuk kehidupan seharian, ia juga perlu untuk menghasilkan kandungan gambar serta video yang tidak malu dikongsi. Pada siri Samsung Galaxy S22, sistem penstabilan imej secara optikal (OIS) dipertingkat sebanyak 54%. Dengan jarak pergerakan lensa yang lebih tinggi, video serta imej yang lebih stabil dapat diambil walaupun pengguna sedang bergerak.

Samsung amat menekankan ciri Nightography mereka kali ini dengan kemampuan mod malam yang lebih baik pada video, imej, potret dan juga swafoto. Sistem Adaptive Pixel menggabungkan ketajaman imej 108MP dengan keterangan 12MP menerusi teknik nonabinning. Hasilnya ialah imej yang terang dan tajam dapat diambil sepanjang masa. Aplikasi Expert Raw pula memberikan kebebasan kepada peminat fotografi mengawal setiap aspek kamera dengan sokongan diberikan pada kesemua lensa kamera buat pertama kalinya.

Juga dengan menggunakan maklumat pemetaan tiga dimensi, kamera siri S22 dapat mengambil gambar potret yang lebih cantik kerana mampu memisahkan latar belakang dengan subjek.

6. Mengecewakan – Lensa Kamera Galaxy S22 Ultra Agak Terdedah

Sistem kamera yang baik hanya akan berguna selagi ia berfungsi. Berdasarkan pengalaman lalu, lensa kamera amat mudah terdedah kepada calar dan hentakan sekiranya diletakkan di atas permukaan meja. Tidak seperti Galaxy S21 Ultra, Galaxy S22 Ultra tidak lagi menggunakan bonggol kamera besar yang diperbuat daripada logam yang tahan lasak. Sebaliknya keempat-empat lensa terkeluar dari tubuh. Perlindungan kepada lensa adalah lebih rendah berbanding model tahun lalu.

Sebagai insan yang terkenal dengan kegagalan menjaga peranti dengan baik, kurangnya satu lapisan perlindungan kamera ini sedikit mengecewakan. Pembelian kerangka tahan lasak kini menjadi wajib kerana Samsung sudah menghentikan amalan memberikan kerangka percuma dengan setiap pembelian.

7. Menarik – Live Sharing

Dunia sedang bertarung pula degan gelombang varian Omicron yang menyebabkan angka jangkitan Covid-19 baharu mencanak naik. Di Malaysia kita tidak terlepas dari gelombang ini dengan kes jangkitan baharu kembali ke lima angka dua hari berturut-turut. KKM memberikan saranan kepada majikan untuk membenarkan pekerja kembali bekerja dari rumah dan mengurangkan aktiviti luar.

Live Sharing ialah ciri baharu pada Google Duo yang diumumkan eksklusif pada peranti Samsung dahulu semalam akan mengurangkan kebosanan jika pengguna ingin melakukan isolasi. Ia membolehkan pengguna Duo menonton video YouTube secara atas talian bersama rakan atau saudara terdekat. Perkongsian kolaborasi kerja turut boleh dilakukan menggunakan Samsung Notes. Dengan ciri ini akhirnya Android mempunyai ciri yang sama seperti Apple SharePlay.

8.Menarik – Auto Framing

Auto Framing ialah satu ciri berguna yang ditawarkan pada Galaxy Z Fold3 tetapi kini dipinjamkan pula pada siri Galaxy S22. Apakah fungsinya? Kamera dengan bijak menjejak pergerakan individu dalam pelbagai aplikasi telesidang dan video. Sekiranya lebih banyak individu di jejak oleh kamera, ia secara automatik menggunakan lensa ultra sudut lebar bagi membolehkan gambar sehingga 10 peserta diambil dalam bingkai yang sama.

9. Menarik – Kolaborasi Multi Peranti Dipertingkatkan

Samsung bekerjasama dengan Microsoft untuk meningkatkan lagi sokongan peranti mereka dalam aplikasi dan peranti Windows 11. Link to Windows bukan ciri baharu tetapi perlu diingatkan kewujudannya kerana ramai yang tidak menggunakan ciri menggunakan telefon Samsung dalam sebuah komputer riba Windows.

Aplikasi Microsoft Office kini menyokong lebih banyak ciri apabila interaksi dilakukan menggunakan S Pen. Dengan ini produktiviti pengguna akan semakin meningkat walaupun bekerja dari sebuah Galaxy S22 Ultra.

Bagi pengguna ekosistem Samsung pula Collaborative View menjadikan Galaxy S22 Ultra skrin hanya untuk kawalan tool aplikasi Clip Studio Art manakala lakaran boleh dilakukan sepenuhnya pada tablet Galaxy Tab S8. Dua peranti digunakan serentak untuk menghasilkan karya digital.

10. Mengecewakan – Harga Yang Semakin Meningkat

Realitinya tahun ini harga jualan Galaxy S22 Ultra adalah lebih mahal berbanding Galaxy S21 Ultra tahun lalu. Sebagai contoh model 12/512GB dijual pada harga RM5899 sedangkan tahun lalu model 16/512 dijual pada harga yang sama. Pada Galaxy S22 dan Galaxy S22+ pula, walaupun harga peranti adalah sama terdapat pengurangan pada kapasiti bateri.

Dengan dunia mengalami isu kekurangan komponen dan masalah logistik yang masih belum nampak penghujungnya, Samsung perlu mengimbangi harga peranti di Malaysia. Kenaikan sekitar RM100 di Malaysia masih lagi lebih baik berbanding $100 yang berlaku di pasaran Amerika Syarikat misalnya. Tetapi kenaikan harga masih lagi kenaikan harga memandangkan itu adalah yang paling ketara di mata pengguna.

Adakah 10 perkara menarik dan mengecewakan ini mengubah minat anda untuk miliki Samsung Galaxy S22, Samsung Galaxy S22+ dan Samsung Galaxy S22 Ultra? Kongsi pendapat anda di ruangan komen.

komen


© Amanz / 2022 Kami