Redmi K50 Gaming Edition bakal dilancarkan secara rasminya di China pada 16 Februari ini. Rekaannya juga telah diperlihatkan dalam poster pelancaran sebelum ini dengan kemasan panel belakang seumpama generasi terdahulu. Redmi juga menjanjikan peningkatan prestasi keseluruhan lebih baik melaluinya.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, Redmi kini mendedahkan yang mana peranti kelak akan dilengkapi sokongan butang bahu dan sistem penyejukan yang lebih baik. Melaluinya, Redmi menggunakan bahan berasaskan silikon bagi menggantikan binaan yang keras sebelum ini untuk penggunaan lebih baik. Pada masa sama, butang bahu ini juga tidak terhad untuk penggunaan permua semata-mata, sebaliknya ia juga berfungsi sebagai pintasan untuk beberapa fungsi lain.
Antaranya seperti tangkapan layar skrin, rakaman skrin, fungsi NFC, aplikasi kamera, lampu suluh dan sebagainya. Kemudian, peranti pintar ini juga akan mempunyai sistem penyejukan yang dipertingkatkan. Di mana, ia didakwa menjanjikan pelepasan haba mencapai 40% lebih baik berbanding pendahulu. Ini bertujuan bagi pengoptimasian prestasi peranti yang memuaskan tanpa masalah panas melampau.
Dalam perkembangan berbeza, spesifikasi peranti turut tertiris menerusi salah satu perkongsian di Weibo. Ia menunjukkan peranti dijangka hadir dengan skrin sebesar 6.67-inci bersama kadar segar semula 120Hz. Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi jenis skrin yang bakal digunakan, tetapi ada kemungkinan besar ia adalah OLED.
Selain itu, cip Snapdragon 8 Gen1 turut akan digunakan sebagai tunjang utama peranti, di samping bateri sebesar 4,700mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Tetapan kamera pula adalah 64MP + 13MP dan kamera hadapan pula sebesar 16MP. Tidak ketinggalan, butang bahu fizikal turut dikekalkan bagi memberi kawalan lebih jitu sewaktu peranti digunakan untuk bermain permua.
Lain-lain spesifikasi yang mungkin disokong adalah pengimbas cap jari di sisi, IR Blaster, motor linear paksi-X dengan ciri getaran 4D dan sebagainya. Bagi mengetahui sama ada maklumat tertiris ini benar atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Weibo