Cari @ Amanz

OnePlus Nord CE 2 5G bakal dilancarkan pada 17 Februari ini. Ia bakal menjadi model kesinambungan kepada OnePlus Nord CE 5G yang dilancarkan pada bulan Jun 2021. Ia juga bakal mengekalkan tradisi siri berkenaan yang menyediakan nilai sebuah peranti baik pada harga mampu milik.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, OnePlus juga telah mula memperlihatkan satu persatu penawaran pada peranti. Di mana, ia kelak akan mempunyai panel belakang dengan modul kamera berbentuk segi empat. Di samping, sokongan sekurang-kurangnya tri-kamera utama. Spekulasi awal mendakwa konfigurasi kamera ini besar kemungkinan terdiri dengan 64MP + 8MP + 2MP.

Seterusnya, peranti juga akan dibekalkan sistem pengecasan pantas dengan kuasa output mencaoai 65W. Ia dilihat lebih baik berbanding model terdahulu yang menyokong pengecasan pantas 30W. OnePlus mendakwa peranti boleh dicas penuh untuk penggunaan seharian dalam hanya 15 minit sahaja. Kapasiti bateri tidak pula didedahkan tetapi besar kemungkinan ia adalah 4,500mAh.

Disebabkan tarikh pelancarannya dilihat semakin hampir, kita boleh menjangkakan lebih banyak informasi yang akan dikongsi dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : OnePlus India

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd