Ulasan Samsung Galaxy S21 FE – Betul Ke Ini Yang Peminat Mahukan?

Diterbitkan pada Feb 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak dinafikan yang peranti Samsung Galaxy dalam siri FE adalah antara yang terbaik, kerana harga yang lebih murah daripada versi utama, tidak mempunyai banyak gimik dan cuba menarik perhatian kepada para peminat jenama ini. Model terkini adalah Galaxy S21 FE yang juga ditawarkan pada harga lebih mampu milik sambil mengekalkan elemen terbaik daripada tiga peranti siri S21 yang dilancarkan tahun lalu. Namun kali ini dengan pelancaran yang lewat dan menggunakan cip Exynos dan bukan Snapdragon, adakah ia masih menyasarkan peminat seperti sebelum ini?

Selepas menguji peranti ini dengan menjadikannya sebagai peranti harian untuk beberapa minggu, saya mendapati peranti ini masih hebat dan seronok untuk digunakan. Ia juga masih ada nilai premium dan tidak terasa seperti menggunakan bahan binaan mainan. Persoalannya, adakah ia berbaloi untuk dimiliki atau pilihan lebih cerdas ialah melangkau terus ke Samsung Galaxy S22 yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia.

Spesifikasi

Galaxy S21 FE
Skrin6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
1080 x 2400, Victus
PemprosesExynos 2100 (5nm)
Cip1 x 2.9 GHz Cortex-X1
3 x 2.80 GHz Cortex-A78
4 x 2.2 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G78 MP14
RAM8GB + RAM Plus 4GB
Storan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama12MP f/1.8 – Utama, OIS
8MP – f/2.4 – Telefoto, 3x Optikal, OIS
12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 123 darjah
Kamera Swafoto32MP f/2.2
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan nirwayar berbalik
SIM/Telefoni5G, Dwi SIM Nano
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanRM2899 8/128 GB
RM3099 8/256 GB

Peranti mercu Samsung sehingga hari ini masih lagi di antara peranti yang menawarkan skrin yang hebat dan cantik. Warna yang dihasilkan yang cukup terang dan dalam, sokongan HDR10+ yang menakjubkan serta mampu dilihat dengan jelas walaupun terdedah pada cahaya matahari yang terik. Panel yang digunakan pada peranti ini adalah 6.4-inci Dynamic AMOLED 2X, dengan kadar segar semula 120Hz yang beresolusi 1080 x 2400 serta mempunyai perlindungan Gorrila Glass Victus.

Untuk cip pemprosesan, peranti dijana dengan cip Exynos 2100 binaan 5nm yang mana cip ini mempunyai 1x teras 2.9 GHz Cortex-X1 + 3x teras 2.80 GHz Cortex-A78, 4x teras 2.2 GHz Cortex-A55, dipadankan pula dengan GPU Mali-G78 MP14 dan menggunakan memori 8GB RAM dan RAM Plus 4GB menjadikan RAM peranti adalah 12GB. Storan dalam pula terdapat dua pilihan sama ada 128GB atau 256GB jenis UFS 3.1. Peranti ini turut menggunakan tri-kamera 12MP, memuatkan bateri 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W dan perlindungan daripada air IP68.

Rekaan

Samsung Galaxy S21 FE menggunakan rekabentuk yang lebih kurang sama dengan Galaxy S21. Panel belakang masih lagi polikarbonat dengan kemasan kusam yang memberi cengkaman yang baik apabila di dalam tangan. Modul kamera dengan Contour Cut Design yang ikonik dikekalkan dan ini ialah rekaan yang nampaknya turut diteruskan juga pada siri S22.

Secara peribadi saya merasakan tindakan Samsung mengekalkan elemen rekaan yang konsisten adalah baik kerana sudah agak lama ia tidak dilakukan. Perubahan rekaan saban tahun menyebabkan keluarga Galaxy S seperti tidak mempunyai identiti tersendiri. Rekaan seperti ini turut memberi inspirasi kepada pengeluar peranti lain untuk turut menggunakan konsep rekaan yang lebih konsisten antara generasi.

Di hadapan skrin 6.4-inci yang digunakan tadi bukan sahaja dilindungi dengan Gorilla Glass Victus, tetapi turut menggunakan rekaan yang rata yang cukup baik untuk diri saya. Di sisi kiri peranti tiada apa-apa, tetapi di kanan terdapat semua butang laras suara dan kuasa. Di bawah pula terdapat slot kad SIM, port USB-C, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara.

Peranti ini amat selesa di tangan dan begitu mudah untuk dikendalikan. Untuk diri saya, ia seakan memegang sebuah Pixel 6 atau Pixel 5, kerana saiznya yang kompak. Ia juga tidak terasa begitu berat sehingga tidak seimbang seperti abang besar S21 Ultra. Pada waktu yang sama masih lagi agak nipis. Untuk menepati citarasa lebih ramai peminat, Samsung turut menawarkan pelbagai pilihan warna seperti Graphite pada unit ulasan kami ini, Olive, Lavender atau juga White.

Hanya empat warna untuk FE tahun ini berbanding enam tahun lalu. Warna yang tidak ditawarkan tahun ini ialah Cloud Orange, dan Cloud Red. Sedikit mengecewakan kerana pilihan warna pelangi pada S20 FE membuatkannya unik berbanding peranti lain yang ditawarkan dalam warna-warna standard yang membosankan.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Keunikan Galaxy S21 FE ini adalah ia terus hadir dengan One UI 4.0 yang menjadikannya peranti pertama Samsung ditawarkan dengan sistem operasi Android 12 terus dari kotak. Pengalaman penggunaan peranti ini terasa lebih menarik dan sedikit berbeza dengan One UI 3. Walaupun tidak banyak beza dari segi visual, dalam masa beberapa minggu saya menggunakan S21 FE ini masih dapat dirasakan perbezaannya dan boleh dilihat ciri baru yang ditawarkan oleh Samsung.

Antara yang menarik pada hemat saya adalah penggunaan widget yang lebih menarik dan memberi kebebasan kepada pengguna untuk lebih kreatif dalam menyusun atur skrin utama peranti. Walaupun widget yang digunakan banyak yang tersendiri, aplikasi daripada Google yang sedia menyokong widget baharu Android 12 turut boleh digunakan. Seperti Android 12 asli, Samsung turut memberi tumpuan yang lebih baik kepada kawalan privasi.

Sebagai contoh pintasan pantas Camera Access dan Microphone Access boleh diaktifkan terus dari talam Quick Settings. Dengan hanya satu butang kamera dan mikrofon boleh dinyahaktifkan di tahap sistem untuk mengelakkan sebarang bentuk intipan.

Bahagian pengurus peranti – Device Care juga menjadi lebih menarik dengan rekaan yang mesra pengguna. Samsung juga menyertakan sokongan tambahan memori secara maya melalui ciri RAM Plus yang mengambil 4GB daripada storan dalaman sekaligus membolehkan peranti mempunyai sehingga 12GB RAM secara keseluruhan. Dengan kata lain semua ciri One UI 4.0 yang kini digunakan pada peranti seperti S21 Ultra dan Note20 Ultra turut diberikan kepada S21 FE.

Selain itu Samsung turut menawarkan ciri kustomasi warna, yang menawarkan palet warna berbeza yang ditetapkan sendiri mengikut keperluan pengguna. Memandangkan S21 FE adalah tergolong dalam kategori peranti mercu, ia disahkan menerusi tiga kemas kini versi Android dan kemas kini tampalan sekuriti selama empat tahun. Dari apa yang dapat dilihat pada tahun 2021, kelebihan paling ketara peranti Samsung berbanding pengeluar Android yang lain termasuk Google ialah kemas kini yang diberikan jauh lebih pantas pada pelbagai kelas peranti yang dijual.

Sepanjang penggunaan peranti ini, saya tidak menemui sebarang isu yang serius dari segi prestasi. Cip Exynos 2100 ternyata masih lagi sebuah cip yang berkuasa dengan tiada masalah untuk bermain permua dengan grafik tetapan tinggi. Saya tahu ramai yang kecewa dengan tiadanya cip Snapdragon tahun in memandangkan S20 FE hadir dengan cip Qualcomm. Tetapi percayalah, Exynos 2100 ini sekurang-kurangnya lebih hebat daripada Google Tensor yang saya gunakan pada Pixel 6.

Masalah yang kami hadapi adalah dalam bentuk pemanasan serta lengah masa yang berlaku secara rawak. Dalam penggunaan saya, bermain permua ringan dalam jangka masa panjang tidak ada masalah – tetapi sejurus aplikasi kamera dibuka ia terus menjadi perlahan. Namun dengan fokus kepada bermain permua sahaja, peranti mampu menjalankan permua seperti Asphalt 9 pada tetapan tinggi dan PUBG Mobile pada tetapan auto HD tanpa sebarang masalah.

Manakala jika ada aplikasi media sosial lain yang berat seperti Facebook, 120Hz akan menjadi seakan 60Hz atau kadangkala lebih rendah, kerana tatalan yang menjadi semakin cacat. Tetapi ni boleh juga kerana aplikasi pihak ketiga yang tidak dioptimasikan untuk menyokong kadar segar semula adaptif.

Paling menjengkelkan pada saya adalah, jika peranti mati dan dihidupkan semula ia akan mengambil masa yang agak lama untuk semua dimuatkan kerana sistem penyulitan Samsung Knox yang digunakan. Ini ialah isu pada kesemua peranti Samsung dengan Knox. Kemudian notifikasi yang sudah saya terima dan beri maklum balas pada peranti lain mula masuk dan menjadikan peranti lebih berat daripada biasa.

Penanda Aras

Walaupun begitu, dalam 90% situasi penggunaan harian tidak ada sebarang masalah serius dan ia peranti masih lancar seperti menggunakan peranti mercu tahun 2021 sahaja. Prestasi keseluruhan juga adalah setaraf dengan peranti Snapdragon 888, dengan skor AnTuTu boleh mencapai 714469 markah dan Geekbench 5 pula adalah 1062/3282 markah untuk satu teras/multi teras. Skor ini dicapai dengan menggunakan kipas penyejuk untuk mendapat keputusan yang optimum. Untuk RAM Plus, setakat ini ia masih automatik dan belum boleh diubahsuai seperti pada One UI 4.1 yang digunakan pada S22.

Jika tidak menggunakan kipas penyejuk, peranti ini tidak akan menerima skor yang lebih kurang sama. Malah ia menerima skor yang amat mengecewakan iaitu 470427 pada AnTuTu dan 528/2208 untuk satu teras dan multi-teras pada Geekbench 5. Semasa ujian dilakukan juga, peranti menjadi memanas dalam keadaan yang tidak menentu. Ujian ringkas ia menjadi panas, ujian berat tidak pula.

Begitu jugalah sepanjang penggunaan saya dengan peranti ini, yang mana apabila ia baik ia akan memberikan pengalaman setaraf peranti mercu premium. Namun apabila masalah berlaku, ia seakan menggunakan peranti Samsung yang sudah lanjut usia.

Kamera

Seperti Samsung Galaxy S21, S21 FE juga mempunyai sistem kamera yang hebat. Secara keseluruhan, ia adalah lebih kurang sama sahaja iaitu konfigurasi tri-kamera dengan 12MP f/1.8 utama, 8MP f/2.4 telefoto yang menyokong tiga kali zum optikal serta 12MP f/2.2 sudut ultra-lebar yang mempunyai sudut pandangan sehingga 123 darjah. Kedua-dua sensor utama dan telefoto mempunyai sokongan OIS. Untuk kamera swafoto pula, S21 FE menggunakan sensor 32MP f/2.2.

Satu keputusan bernas daripada Samsung untuk mengekalkan OIS, kerana tanpa OIS gambar mod malam yang tajam dan gambar telefoto yang tidak kabur mustahil dapat diambil tanpa tripod. Tidak lupa juga OIS turut membantu rakaman video yang lebih stabil dengan ciri Super Steady. Pengguna OIS secara harfiah memberikan perbezaan kualiti antara langit dan bumi.

Imej di bawah adalah hasil daripada sensor utama. Di mata saya ia masih cantik dan memuaskan. Penghasilan warna adalah standard pada peranti mercu Samsung yang bukan variasi Ultra. Ia cukup terang, butiran dipelihara serta cukup nilai HDR yang saya yakin akan membuatkan hati ramai orang puas hati.

Kemampuan sudut ultra lebar juga cukup baik. Ia mempunyai fokus yang menarik, hasil warna yang cukup memuaskan, tidak mempunyai masalah kesan herotan yang melampau, serta butiran juga masih terpelihara yang mana jarang dapat pada telefon pintar lain dalam kelas yang sama atau pada harga lebih kurang sama.

S21 FE turut menyokong zum optikal sehingga tiga kali, yang mana ia bukannya digital yang pangkas imej menggunakan perisian. Disebabkan itu, ia mampu memberikan satu hasil yang masih cantik dan kemas. Warna yang tidak lari, butiran yang masih tajam serta fokus yang masih baik. Cuma untuk mod ini, pencahayaan perlu pada waktu sesuai jika tidak kesan hingar akan ada banyak.

Akhir sekali adalah swafoto dengan sensor 20 Megapixel yang mana satu sensor yang cukup besar untuk gambar swafoto. Hasil potret pada swafoto apa yang saya sedari adalah semakin baik dengan pengesanan pada keliling subjek yang lebih kemas serta kesan kabur yang lebih baik. S21 FE juga mempunyai ciri untuk swafoto beramai-ramai agar semua orang boleh masuk dalam bingkai.

Audio

Samsung Galaxy S21 FE turut masih mempunyai pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos. Ia adalah satu lagi ciri yang wajib pada saya, kerana jika hanya mono audio tidak menarik untuk didengar dan muzik kegemaran atau menonton video akan memberikan pengalaman yang tidak memuaskan. Walaupun S21 FE ini tidak mempunyai kualiti audio yang sehebat peranti mercu lain pada harga lebih kurang sama.

Perkara paling jelas kurang pada S21 FE ini adalah ia tidak mempunyai bass yang baik dan mempunyai highs yang sedikit nyaring. Namun ia juga masih bergantung kepada media yang dimainkan, sama ada muzik apa, video apa serta aplikasi apa juga. Setakat penggunaan harian biasa, ia masih mampu memberikan audio yang seimbang dan enak.

Apabila saya bandingkan dengan S22, S21 FE ini seakan jauh ketinggalan kerana pada S22 ia mempunyai bass yang berdentum dengan lebih baik dan mempunyai aras suara yang jauh lebih kuat.

Bateri

Sama seperti S20 FE sebelum ini, S21 FE juga menggunakan bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 25W. Dalam penggunaan saya sebagai peranti harian, di mana setiap hari saya akan menggunakan kamera, hidupkan semua rangkaian, aktif di media sosial, kerap mendengarkan muzik dan bermain permua dalam masa singkat serta menstrim video – peranti boleh bertahan selama lebih 14 jam. 6 jam 26 minit adalah SOT yang saya terima untuk penggunaan seperti ini.

Tetapi saya juga pernah sahaja capai melebihi 7 jam dan 8 jam SOT untuk penggunaan yang ringan. Penggunaan ekstrem pun, masih lagi sekitar 5 jam. Pengecasan pantas walaupun bukan yang paling pantas berbanding pesaing, 25W pada S21 FE ini masih berkali ganda pantas tempoh pengecasannya berbanding Pixel 6 dan Pixel 6 Pro.

Perbandingan

Peranti Pesaing
Xiaomi 11T ProSamsung Galaxy S21 FESamsung Galaxy S22
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
(~395 ppi), 120Hz, Dolby Vision
6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
1080 x 2400
6.1 ” Dynamic AMOLED 2X
FHD+, 120Hz, HDR10+, 1080 x 2340
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Exynos 2100 (5nm)
1 x 2.9 GHz Cortex-X1
3 x 2.80 GHz Cortex-A78
4 x 2.2 GHz Cortex-A55
Snapdragon 8 Gen 1
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 660Mali-G78 MP14Adreno 730
8/12 GB LPDRR58GB LPDDR5
4GB RAM Plus
8GB LPDDR5
4GB RAM Plus
256 GB UFS 3.1
(Tiada slot kad mikro SD)
128/256 GB UFS 3.1
(Tiada slot kad mikro SD)
128/256 GB UFS 3.1
(Tiada slot kad mikro SD)
Kamera Utama
108MP f/1.8 – Utama
8MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar
5MP f/2.4 – Telefoto Makro
AI Cinema, Audio Zoom, 8K, Super Makro
Kamera Utama
12MP f/1.8 – Utama, OIS
8MP – f/2.4 – Telefoto, 3x zum optikal, OIS
12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 123 darjah
Kamera Utama
50MP f/1.8 – Utama, OIS
12MP f/2.2 – Sudut Ultra-Lebar, 120 darjah
10MP f/2.4 – Telefoto, 3x zum optikal, OIS
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
10 Megapixel f/2.2
IP53IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo Harmon/KardonAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby Atmos
5000 mAh (Berwayar 120W)4500 mAh (Berwayar 25W)3700 mAh (Berwayar 25W)
RM2099 8/256 GB
RM2299 12/256 GB
RM2899 8/128 GB
RM3099 8/256 GB
RM3499 8/128 GB
RM3699 8/256 GB

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Galaxy S21 FE adalah lebih kurang sama sahaja dengan S21 biasa. Ada yang ditambah-baik dan ada juga kurangnya. Peranti ini tidak dinafikan baik sahaja untuk digunakan sepanjang hari, kerana ia tidak akan memberikan masalah serius seperti yang ramai sangkakan. Exynos sebenarnya adalah cip yang baik, kamera juga adalah cukup baik, skrin sudah semestinya masih antara yang terbaik dalam industri telefon pintar.

Masalah utama pada peranti ini adalah harga jualan rasmi yang agak tinggi untuk peranti dalam kelasnya. Pelancaran peranti ini juga agak lewat, kerana jika anda lihat dengan apa yang Samsung tawarkan pada Galaxy S22 ia mempunyai kemampuan yang jauh lebih hebat. Hanya beza beberapa ratus ringgit untuk peranti yang menyokong kemas kini sehingga 5 tahun.

Kemudian dengan spesifikasi lebih kurang sama, malah lebih hebat dari segi pengalaman penggunaan harian adalah Xiaomi 11T Pro dengan harga jualan hampir separuh beza serta kemampuan kamera yang lebih baik mungkin akan menjadi pilihan terbaik untuk semua.

Pro

  • Binaan yang selesa di tangan dan masih rasa premium walaupun polikarbonat.
  • Prestasi yang masih lancar dengan cip yang masih berkuasa.
  • Skrin yang cantik untuk hiburan berpanjangan.
  • Kemampuan kamera yang memuaskan.
  • Bateri yang tahan lama untuk penggunaan sepanjang hari.

Kontra

  • Kadar segar semula 120Hz tidak konsisten pada beberapa aplikasi kerana sistem adaptif.
  • Lewat empat bulan ke pasaran dengan Galaxy S22 sudah pun dilancarkan.
  • Tidak menyokong pengecasan pantas yang setaraf pesaing
  • Harga jualan yang agak tinggi.

komen


© Amanz / 2022 Kami