DNB Menjawab Mengapa Samsung Tidak Disenaraikan Daripada Peranti Yang Disokong

Diterbitkan pada Feb 16, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan yang mana Digital Nasional Berhad telah mengemaskini senarai peranti yang disokong, sekaligus membuang peranti Samsung daripada senarai peranti yang disokong.

Lanjutan daripadanya, kini DNB telah mengeluarkan kenyataan rasmi menjawab artikel Amanz.

Menurut DNB, ketika awal pengenalan rangkaian 5G pada 15 Disember 2021 lepas, beberapa peranti 5G mempunyai isu berkaitan panggilan suara VoLTE. Isu ini dikatakan telah dibangkitkan kepada pemilik jenama yang berkaitan.

Menurut DNB, pengeluar peranti sedang berusaha membangunkan kemaskini perisian yang diperlukan, dan dijadual siap pada akhir suku pertama 2022 kelak.

Pada masa yang sama, DNB turut mengingatkan yang mana pihak mereka tidak mengesahkan atau meluluskan mana-mana peranti 5G. Sebaliknya, DB menyediakan kemudahan untuk pengilan menjalankan ujian seperti ujian statik awal, serta laluan ujian supaya peranti dikonfigurasikan serta kemaskini perisian serasi dengan rangkaian 5G.

Seperti ramai sedia maklum, SKMM yang melakukan pensijilan peranti di Malaysia.

Mengikut jadual sasaran, DNB memaparkan beberapa jenama mungkin menyokong rangkaian 5G DNB menjelang suku pertama 2022 ini, termasuk Samsung dan Apple.

Berikut merupakan jawapan lanjutan yang turut disediakan oleh pihak DNB:

1. Adakah pengguna perlu mendapatkan peranti yang disokong 5G untuk menggunakan rangkaian 5G Malaysia?

Ya betul. Pengguna mesti mendapatkan peranti yang mempunyai kemampuan 5G yang telah dikonfigurasikan untuk menyokong rangkaian 5G. Entiti tempatan pengeluar peranti harus memastikan bahawa peranti mereka boleh menyokong pelbagai perkhidmatan yang akan dihantar kepada pelanggan melalui rangkaian 5G tempatan.

2. Adakah DNB memperakui dan meluluskan peranti yang mempunyai kemampuan 5G dan berapa lamakah masa yang diambil untuk peranti 5G “diperakui” untuk digunakan di Malaysia?

DNB tidak memberi perakuan atau meluluskan peranti 5G. Kami hanya menyediakan kemudahan untuk pengilang menjalankan ujian seperti ujian statik awal, serta laluan ujian untuk membolehkan ujian pemanduan di jalan raya supaya peranti mereka boleh dikonfigurasikan dan perisian tegar dikemas kini agar serasi dengan rangkaian 5G.Pensijilan peranti diterajui oleh SIRIM – di bawah bimbingan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) – sebagaimana prosedur standard.Pelanggan digalakkan untuk menyemak dengan penyedia perkhidmatan dan/atau pengeluar peranti mereka untuk mendapatkan peranti berkemampuan 5G yang terbaik dalam lingkungan belanjawan mereka.

3. Mengapakah ia mengambil masa yang lebih lama untuk mengesahkan sesetengah peranti dan bukan yang lain?

Masa yang diambil untuk peranti menjadi sedia 5G adalah bergantung pada proses khusus oleh setiap pengeluar. DNB tidak terlibat dalam pensijilan peranti.Sila hubungi penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan anda dan/atau pengeluar jenama untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ketersediaan peranti 5G di Malaysia.

komen


© Amanz / 2022 Kami