Ulasan Redmi Note 11 – Akhrinya 4GB RAM Cukup Untuk Android!

Diterbitkan pada Feb 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Redmi Note 11 sudah pun dilancarkan di Malaysia. Xiaomi menawarkan empat pilihan iaitu Redmi Note 11, Note 11s, Note 11 Pro 4G dan Note 11 Pro 5G. Setiap peranti ini menawarkan sesuatu yang istimewa untuk menyasarkan lebih ramai pengguna dalam pelbagai situasi. Apa yang menarik dengan Redmi Note 11 adalah, ia menggunakan rekaan baharu, sistem operasi baharu dan mempunyai prestasi yang lebih hebat berbanding sebelum ini.

Untuk artikel ini, saya akan kongsi pengalaman menggunakan Redmi Note 11 iaitu versi paling asas dalam siri ini selepas menggunakan selama beberapa minggu. Cukup mengejutkan, ini adalah kali pertama saya menggunakan peranti Redmi dengan RAM rendah dan menerima penggunaan dengan prestasi yang hebat. Namun sejauh manakah peranti ini boleh pergi dan ia sesuai untuk siapa? Jom baca artikel ulasan ini sehingga tamat.


Spesifikasi Dan Rekaan

Redmi Note 11
Skrin6.43″ AMOLED, FHD+ 2400 x 1080
~409 ppi, 90Hz
PemprosesSnapdragon 680 (6nm)
Cip4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM4/6 GB RAM
Menyokong memori maya, Memory Extension
Muatan Dalaman128GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP, f/1.8 (utama),
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (sensor kedalaman)
Kamera Swafoto13MP, f/2.4
Bateri5,000 mAh
Berwayar
Pengecasan pantas 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga Jualan4/128 GB RM749
6/128 GB RM799

Redmi Note 11 adalah satu lagi peranti kelas pertengahan asas yang dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 680 dengan binaan 6nm. Cip ini adalah cip lapan teras dengan GPU Adreno 610 dan melengkapkan peranti ini adalah memori mencapai 6GB RAM dengan sokongan penambahan memori maya melalui storan 128GB UFS 2.2.

Redmi Note 11 turut menggunakan skrin AMOLED dengan resolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula 90Hz dan boleh mencapai sehingga 100 nits kecerahan skrin. Peranti ini turut hadir dengan konfigurasi kuad-kamera daripada sensor 50MP + 8MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 13MP. Peranti juga terhad dengan rangkaian 4G sahaja serta masih mempunyai port bicu audio 3.5mm dan sensor infra merah.

Bateri pula adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W dan turut mempunyai pembesar suara stereo. Untuk sekuriti pengimbas cap jari di sisi digunakan, menjadi standard untuk peranti-peranti Redmi dalam kelas ini. Semua ini dimuatkan dalam badan yang nipis dan mengikut trend terkini iaitu rata di setiap sisi, dan skrin hadapan. Walaupun begitu, elemen melengkung masih kelihatan lagi pada peranti ini.

Peranti ini masih lagi selesa dipegang dan menggunakan pada jangka masa panjang tidak menjadi masalah. Cuma di mata saya ia tidak begitu cantik dan seksi, sedangkan abang-abangnya dan pesaing menggunakan rekaan rata yang sebenar. Di atas peranti terdapat port bicu audio 3.5mm dan sensor infra merah, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Di bawah pula ada satu lagi lubang mikrofon, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Semua butang-butang kuasa dan aras- suara dikumpulkan pada satu sisi, manakala sisi sebelahnya hanya ada slot kad SIM.

Panel belakang peranti mempunyai bonggol kamera nipis, tidak begitu menjengkelkan dab masih ada identiti Redmi Note 10 sebelum ini. Skrin di hadapan adalah rata, tetapi dagu yang masih tebal.

Penggunaan Dan Perisian

Skrin AMOLED 90Hz pada peranti kelas pertengahan seperti ini biasanya tidak akan mempunyai kualiti paparan yang baik. Namun berbeza pada Redmi Note 11 ini, ia mempunyai warna yang baik, skrin yang cukup terang walaupun berada di bawah cahaya matahari, dan kadar segar semula 90Hz juga agak baik dan konsisten. Ada beberapa aplikasi masih tersangkut-sangkut, namun ia tidak seteruk seperti sebelum ini.

Penstriman di Netflix menyokong FHD, begitu juga pada YouTube. Peranti ini tidak menyokong sebarang piawaian HDR atau Dolby untuk skrin. Setakat penggunaan beberapa minggu, ia masih memberikan pengalaman yang memuaskan untuk peranti dalam kelasnya.

Paling penting pada peranti ini adalah penggunaan MIUI 13, yang mana siri Redmi Note 11 adalah pertama terus keluar daripada kotak menjalankan sistem operasi baharu ini. Cuma ia masih lagi berasaskan Android 11 dan bukannya seperti peranti mercu mereka yang diuji dengan Android 12.

Apa yang menarik dengan MIUI 13 versi global ini adalah, ia terasa lebih ringan berbanding sebelum. Proses menetapkan peranti, menyelarikan akaun, pemasangan dan sebagainya semuanya lancar dan menarik. Berbeza dengan model terdahulu yang rasa berat dan banyak isu lengah masa. Animasi pada MIUI 13 ini juga rasa lebih pantas dan sedap mata untuk memandang.

Dari segi visual, tidak banyak yang berubah berbanding MIUI 12 dan MUI 12.5. Versi global sekali lagi tidak sama dengan versi China yang ada perubahan drastik yang menarik dan menakjubkan. Xiaomi pun ketika pelancaran tidak banyak bercerita mengenai ciri baharu MIUI 13 seperti di China, tetapi lebih kepada sokongan;

  • Liquid Storage – Mengurangkan penggunaan memori sebanyak 10%.
  • Atomized Memory – Pengurusan memori di latar yang 40% lebih efisien.
  • Focused Algorithm – Menjanjikan prestasi lebih pantas daripada biasa.
  • Smart Balance – Ketahanan bateri yang boleh bertahan 10% lebih lama.
  • Sidebar – Ciri multi-tugasan dan akses pintas ke aplikasi kegemaran.

Menggunakan peranti ini tidak memberi masalah serius pada saya dan saya rasa seronok dan boleh terima apa yang ditawarkan. MIUI 13 ada potensi menjadi lebih baik, cuma masalah iklan yang masih disertakan dan banyak aplikasi gendut perlu dikurangkan.

Prestasi Dan Skor Penanda Aras

Prestasi peranti ini juga memberi saya satu kejutan yang tidak disangka. Redmi Note 11 yang saya uji hanya ada 4GB RAM dan boleh ditambah dengan 1GB memori maya menjadikan keseluruhan adalah 5GB. Pertama kali memori rendah seperti ini untuk peranti Redmi, memberikan saya prestasi yang lancar.

Saya tidak sangka yang peranti mampu menjalankan pelbagai aplikasi yang kerap saya gunakan dengan baik. Membuka aplikasi, bertukar-tukar, aktif di media sosial semuanya hebat belaka. Peranti juga tidak kerap memanas dan membolehkan saya menggunakan peranti ini sebagai peranti sandaran yang cukup berkuasa.

Untuk permua, di sinilah kekurangan prestasi peranti mula kelihatan. Ia tidak begitu hebat dan ada had di mana prestasinya menyerlah. Asphalt 9 yang pada saya tidak mempunyai grafik yang berat pun, tidak memberikan satu pengalaman yang memuaskan. Ia baik, tetapi tidak mencapai satu tahap di mana pengguna akan puas jika ingin menggunakan peranti ini untuk bermain permua sahaja.

Skor penanda aras AnTuTu 235,608 adalah dan Geekbench 5 pula adalah 358/1585 untuk satu teras dan multi-teras.

Telefoni Dan GPS

Saya membawa peranti ini ke kawasan kampung ketika Raya Cina, di mana kawasan ini biasanya Celcom dan Maxis atau mana-mana syarikat telekomunikasi di bawahnya tidak mempunyai isyarat yang stabil. Namun peranti ini masih boleh memaparkan 4G kerap berbanding peranti lain yang sudah turun ke Edge atau terus tiada isyarat.

GPS pada peranti ini sedikit perlahan. Ia mengambil lebih banyak masa untuk mengunci lokasi dan aplikasi Google Maps pun ketika dibuka, ia sedikit perlahan untuk memuat.

Kamera

Kamera peranti ini cukup mengejutkan agak hebat. Walaupun Redmi Note 11 bergantung banyak dengan perisian dan kecerdasan buatan, ia cuba dengan baik untuk menghasilkan gambar terbaik untuk peranti ini. Ia cuba meningkatkan nilai HDR ke tahap yang lebih tinggi dan menyimpan butiran yang lebih baik. Tetapi hasil akan kelihatan sedikit lebih gelap dan lembut. Untuk keadaan yang terang dan banyak warna, sistem kamera peranti ini hanya memerlukan mod AI diaktifkan jika tidak warna akan kelihatan pudar. Namun nilai saturasi dengan mod ini terlampau tinggi menjadikan hasil imej terlampau terang.

Gambar swafoto pula agak bagus dalam menyimpan butiran dan mengekalkan warna yang hampir natural. Namun fokus kadangkala lari sedikit dan kesan bokeh pula tidak begitu kemas. Mod sudut ultra lebar mengejutkan adalah cukup baik untuk peranti seperti ini. Ia memberikan satu hasil yang hebat yang jarang peranti dalam kategori sama dapat hasilkan. Mod malam adalah yang paling mengecewakan. Ia tidak begitu cantik, baik, dan banyak hingar. Butiran juga terus hilang, menjadikan peranti ini tidak sesuai menggunakan mod ini.

Audio

Tidak banyak sebenarnya peranti kelas pertengahan asas menawarkan pembesar suara stereo dalam peranti mereka. Kalau ada pun biasanya kualiti tidak memuaskan. Untuk Redmi Note 11, pembesar suara stereo yang diberikan cukup kuat dan lantang. Ia tidak mempunyai banyak butiran jelas, atau pengasingan audio yang baik – tetapi ia cukup seimbang kalau sekadar menonton video yang banyak vokal.

Muzik dan permua tidak begitu enak. Tetapi untuk peranti asas seperti ini, ini adalah satu kelebihan yang pengguna patut bersyukur pengeluar peranti menyertakannya.

Bateri

Redmi Note 11 menyertakan bateri berkapasiti 5000mAh dalam tubuh yang kecil. Bateri ini mampu memberi pengguna ketahanan sepanjang hari tanpa masalah. Malah penggunaan ringan, menghampiri dua hari pun tidak menjadi masalah. Dalam penggunaan saya, SOT 9-11 jam penggunaan ringkas mudah untuk dicapai, dengan SOT 6-8 jam untuk penggunaan yang lebih ekstrem

Pengecasan pantas hanya 33W bukanlah satu kuasa yang pantas, tetapi apa yang menarik dengan peranti Xiaomi ini – ia menyokong mana-mana pengecas GaN 45W ke atas untuk mengecas pada kadar kuasa penuh.

Pesaing

Redmi Note 11Realme 9iOppo A76
6.43-inci, Super AMOLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi)6.6-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~400 ppi)6.56-inci, IPS LCD, 90Hz, HD+, (720 x 1612 piksel) (~269 ppi)
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
4/6 GB RAM
128 GB UFS 2.2
4GB RAM
128 GB UFS 2.2
6 GB RAM
128 GB UFS 2.1
50MP, f/1.8 (utama),
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (sensor kedalaman)
50MP, f/1.8 (utama),
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (sensor kedalaman)
13MP, f/2.2 (utama),
2MP, f/2.4 (sensor kedalaman)
13 MP (f/2.4)16 MP (f/2.1)8 MP (f/2.0)
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm Bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Mono
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
RM749 (4/ 128GB)
RM799 (6/128 GB)
RM799 (4GB/128GB)
RM869 (6GB/128GB)
RM899 (4GB/128GB)

Kesimpulan

Secara keseluruhan Redmi Note 11 adalah sebuah peranti kelas pertengahan asas yang agak hebat. Skrin yang cukup baik, terang dan cantik, mempunyai prestasi hebat walaupun hanya menggunakan memori 4GB RAM. Ia adalah antara peranti Redmi dengan memori rendah paling pantas pernah saya gunakan. Kamera walaupun bukan yang terbaik, ia masih cuba untuk menjadi antara yang hebat. Tapi pada hemat saya untuk kamera, Realme 9i dengan cip yang sama adalah lebih baik.

Prestasi bateri juga cukup hebat dengan ketahanan hampir dua hari. Ini sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak untuk PdPR, ibu bapa untuk penggunaan aplikasi pemesejan dan media sosial atau pelajar yang hanya inginkan sebuah peranti asas untuk berkomunikasi. Harga jualan RM749 dan RM799 mungkin sedikit mahal untuk peranti siri Redmi Note, tetapi dengan teknologi yang ada dan spesifikasi ditawarkan – ia adalah memadai kerana pesaing Oppo A76 dan Realme 9i menjual pada harga lebih mahal dan hanya menggunakan skrin LCD.


Pro

  • Skrin AMOLED yang cantik dengan sokongan 90Hz yang pantas.
  • Prestasi yang hebat untuk peranti dengan memori 4GB RAM.
  • Ketahanan bateri yang berpanjangan.
  • Kemampuan kamera yang bersesuaian.

Kontra

  • Pembesar suara stereo yang seimbang dan lantang.
  • Pengecasan yang tidak begitu pantas.
  • Harga peranti Redmi Note yang semakin tinggi.

komen


© Amanz / 2022 Kami