Siri Realme 9 baru sahaja diumumkan secara rasmi dengan beberapa penawaran menarik yang mampu meletakkannya dalam kelas tersendiri. Terdapat dua model yang diperkenalkan dan salah satu daripadanya adalah Realme 9 Pro+.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, peranti pintar berkenaan telah disahkan bakal hadir ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Perkara ini dikongsi sendiri oleh pihak Realme Malaysia dan acara pelancaran rasminya dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan iaitu 2 Mac 2022.
Menyentuh mengenai spesifikasi, Realme 9 Pro+ mengetengahkan kebolehan 5G terbina dengan janaan cip mediaTek Dimensity 920. Selain itu, peranti ini juga lengkap dengan kebolehan kamera yang dipertingkatkan menerusi sokongan kamera 50MP Sony IMX766 bersama ciri tambahan seperti OIS + EIS secara terbina.
Bersama-sama dengannya, bateri 4,500mAh dengan pengecasan 60W SuperDart Charge turut disertakan. Sebagai tambahan, ia juga menyokong pembesar suara audio stereo, pengimbas cap jari pada skrin yang turut digunakan untuk pengimbas nadi, bicu audio 3.5mm dan sebagainya. Untuk penawaran lebih lanjut berkaitan harga jualannya di Malaysia, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak.