Carian
Ulasan Redmi Note 11 Pro 5G – Peranti Kelas Pertengahan Dengan Rupa Kelas Mercu
February 24, 2022 Fahim Zahar

Redmi Note 11 Pro 5G adalah peranti dalam siri Redmi Note 11 yang paling premium. Ia juga dijual pada harga yang lebih mahal berbanding tiga model yang lain. Dengan rekaan yang lebih kurang sama, Redmi dilihat cuba memberi keseimbangan di antara semua golongan peminat agar tiada yang rasa asing atau ketinggalan. Namun versi Pro ini juga masih menggunakan cip Snapdragon 695, adakah ini model yang patut miliki semua atau sebaliknya?

Peranti ini apa yang boleh saya katakan adalah satu peranti kelas pertengahan premium yang mampu milik. Sejurus selepas saya usai menguji Redmi Note 11, Redmi Note 11 Pro 5G ini menjadi peranti harian saya untuk fotografi, media sosial, hiburan dan permua yang boleh saya main pada masa singkat. Ia memberikan saya satu perspektif baharu untuk peranti yang berada dalam kelas ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Redmi Note 11 Pro 5G
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+ 2400 x 1080
~395 ppi, 120Hz
PemprosesSnapdragon 695 (6nm)
Cip2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM6/8 GB RAM
Menyokong memori maya, Memory Extension
Muatan Dalaman128GB UFS 2.2
Kamera Utama108MP, f/1.9 (utama),
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Swafoto16MP, f/2.4
Bateri5,000 mAh
Berwayar
Pengecasan pantas 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM1199 (6/128 GB)
RM1299 (8/128 GB)

Variasi Redmi Note 11 yang paling ‘pro’ ini menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.67-inci, menyokong Netflix HD serta kadar segar semula 120Hz yang cukup pantas. Ia dijana dengan cip lapan-teras Snapdragon 695 yang pertama dalam Malaysia sebelum Oppo A76. Dipadankan pula dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman UFS 2.2 128GB. Peranti ini turut menyokong penambahan memori maya melalui Memory Extension. Untuk kamera peranti ini menggunakan tri-kamera 108MP dan kamera swafoto 16MP.

Seperti Xiaomi 11T, peranti ini turut menyokong pengecasan pantas 67W yang boleh mengecas bateri berkapasiti 5000mAh sehingga penuh dalam masa sekitar 42 minit. Untuk tahun 2022, peranti ini masih menyertakan bicu audio 3.5mm, sensor infra merah dan untuk pengimbas cap jari pula mengekalkan trend peranti dalam kelas ini – iaitu di sisi bersama-sama dengan butang kuasa.

Peranti ini juga adalah peranti yang premium. Bukan sahaja kerana rekaan yang cantik, kemas dan seksi, tetapi kerana sisi rata yang sedap pegang di tangan dan panel belakang dengan kemasan kusam yang rasa lembut dan amat selesa. Di tangan peranti ini rasa cukup solid dan tidak rasa seperti sebuah peranti kelas pertengahan – tetapi seperti sebuah peranti mercu.

Cuma sayang sekali, bonggol kamera yang tebal ini adalah sedikit tajam dan tanpa menggunakan kerangka pelindung – bonggol ini boleh mencalarkan skrin peranti lain jika berada dalam poket seluar.

Penggunaan Dan Perisian

Sudah semestinya penggunaan peranti ini adalah lebih baik daripada Redmi Note 11 biasa. Skrin peranti rasa lebih cantik, seronok digunakan, lebih terang dan dengan mod Sunlight boleh mencapai sehingga 1200 nits dan tiada masalah untuk melihat skrin di bawah cahaya matahari yang terik. Ia tiada piawaian paparan HDR dan sebagainya tetapi menonton Netflix dan YouTube masih memuaskan, warna yang cantik, butiran yang boleh diterima.

Masalah skrin peranti ini hanyalah pada kadar segar semula 120Hz yang pada saya antara yang mengecewakan selepas penggunaan jangka masa panjang. Seminggu pertama saya menggunakannya, tiada masalah serius pun – namun minggu kedua kadar segar semula mula tersangkut-sangkut dan banyak aplikasi menjadi lengah masa ketika tatalan.

Peranti ini juga mempunyai prestasi yang baik dan cukup memuaskan. Selain daripada masalah tatalan 120Hz, peranti ini boleh mengendalikan banyak tugasan berat tanpa masalah. Cuma ini adalah Redmi yang masih lagi mampu milik, jadi ia juga agak terhad sejauh mana prestasinya boleh pergi. Pengurusan memori walaupun sepatutnya lebih baik, saya dapat rasakan masih ada sedikit masalah tidak konsisten pada peranti ini.

Masalah prestasi hanya berlaku pada aplikasi pihak ketiga sahaja, aplikasi Xiaomi sendiri dan kebanyakan aplikasi lain yang popular baik sahaja – kecuali Twitter dan aplikasi kamera yang paling teruk. Tetapi masalah ini saya salahkan pada MIUI 13 versi global yang masih ditindas dan tidak sama dengan versi sebenar yang dilancarkan di China.

Bermain permua pada peranti ini sebenarnya baik sahaja. Asphalt 9 dengan tetapan grafik tinggi memberikan pengalaman bermain yang mengasyikkan. PUBG Mobile pula hanya terhad dengan HD sahaja, dan tidak boleh mencapai tetapan lebih tinggi. Tetapi bermain pada peranti ini tidak begitu panas, dan hanya suam-suam kuku sahaja.

Tidak dinafikan sekali pandang MIUI 13 versi global sama sahaja dengan MIUI 12.5. Ia juga rasa lebih pantas berbanding sebelum. Banyak ciri dan fungsi menarik pada MIUI 13 China tidak diberikan kepada versi global dan membuatkan pengalaman penggunaan rasa semakin bosan. Iklan juga masih penuh, aplikasi gendut juga terlampau banyak dan membazir masa ruangan storan dan masa untuk membuang satu demi satu.

Ciri yang menarik pada saya adalah di bawah;

  1. Liquid Storage – Mengurangkan penggunaan memori sebanyak 10%.
  2. Atomized Memory – Pengurusan memori di latar yang 40% lebih efisien.
  3. Focused Algorithm – Menjanjikan prestasi lebih pantas daripada biasa.
  4. Smart Balance – Ketahanan bateri yang boleh bertahan 10% lebih lama.
  5. Sidebar – Ciri multi-tugasan dan akses pintas ke aplikasi kegemaran.

Itu pun tidak terasa benar, kerana saya tidak dapat nikmati pengalaman penggunaan keseluruhan MIUI 13 sebenar.

Skor Penanda Aras

Snapdragon 695 adalah satu lagi cip dalam Snapdragon 6xx yang menggunakan binaan 6nm. Cip ini sepatutnya mempunyai penggunaan kuasa yang lebih efisien, cermat dan mempunyai prestasi yang hebat. Namun disebabkan perisian yang bermasalah, sudah dipadankan dengan 8+3 GB RAM pun masih tidak dapat memberikan satu skor yang baik.

Skor penanda aras AnTuTu dengan menggunakan kipas penyejuk adalah 404,530 dan Geekbench 5 dengan kaedah ujian yang sama pula adalah 687/2023 untuk satu teras dan multi-teras.

Telefoni Dan GPS

Redmi Note 11 Pro 5G juga tidak ada masalah dengan rangkaian dan isyarat. Saya menggunakan Maxis dan peranti tiada masalah untuk penggunaan VoWiFi, VoLTE, data mudah alih, panggilan telefon. Semuanya lancar dan stabil. Malah lebih baik daripada peranti Pixel 6 saya yang tiga kali ganda harga Redmi Note 11 Pro 5G.

GPS juga tiada masalah, malah saya terkejut dengan kemampuan peranti ini mengunci lokasi dan memberi arahan selok-belok. Ia tidak terasa seperti kebanyakan peranti Redmi lain dan rasa lebih kepada peranti yang lebih premium. Jadi jika anda pentingkan GPS, peranti ini antara yang baik.

Kamera

Untuk sebuah peranti yang berharga bermula RM1199 dan mempunyai tri-kamera daripada sensor 108+8+2 Megapixel adalah cukup hebat dan berbaloi. Namun anda perlu ingat, Megapixel tidak bermaksud kualiti gambar itu baik. Kerana perisian adalah segalanya untuk peranti moden, pasca-proses, kecerdasan buatan dan sebagainya. Aplikasi kamera pada Redmi Note 11 Pro 5G ini kerap tergendala dan tertutup dengan sendiri.

Namun untuk kualiti, ia mempunyai masalah yang sudah menjadi untuk peranti bajet Xiaomi – iaitu tidak konsisten dan sistem kecerdasan buatan memproses imej pada tahap yang melampau sehingga hasil gambar tidak memuaskan. Lihat sampel di bawah ini untuk swafoto yang terlampau lembut. Kemudian hasil potret kamera utama, walaupun warnanya baik – ia tidak begitu kemas dan ada masalah kabur yang tidak memuaskan.

Hasil untuk situasi dengan cahaya matahari, kelihatan cukup baik dan memuaskan. Warna yang terang dan butiran juga masih jelas. Tidak perlu menggunakan apa-apa penuras atau mengubah tetapan peranti pun, kadangkala hasilnya akan menyedapkan hati pengguna.

Mod sudut ultra-lebar dan mod malam pada hemat saya ada sedikit masalah dari warna, fokus dan memelihara butiran dengan baik. Mod malam akan menjadi aneh dan kadangkala penuh dengan hingar kerana tiada OIS dan banyak bergantung kepada perisian yang tidak menentu. Sudut ultra-lebar pula adalah standard untuk peranti dalam kelas ini, tetapi lebih baik daripada Redmi Note 11 biasa.

Audio

Versi Pro dalam siri Redmi Note 11 ini menawarkan sistem audio yang lebih baik daripada adiknya. Ia mempunyai sokongan Dolby Atmos, juga dengan pembesar suara stereo. Unit ulasan yang saya gunakan ada masalah sedikit.

Pada awal penggunaan, saya dapat menikmati audio yang lebih menarik. Ia seimbang, kuat dan lantang – selain dapat memberikan butiran yang lebih baik berbanding Redmi Note 11. Saya tonton video dan mendengar muzik semuanya dengan peranti ini dan ia memberikan satu pengalaman yang tidak mengecewakan.

Namun selepas beberapa hari saya tidak menggunakan peranti ini dan menerima kemaskini MIUI 13 baharu, audio terus menjadi mono. Saya tidak pasti kenapa, kerana selepas semak di web dan forum – saya tidak menemui jalan penyelesaian lagi. Mungkin hanya dengan format peranti ke tetapan kilang dapat membaikinya?

Bateri

Bateri peranti ini pada saya sedikit lemah. Walaupun sama sahaja dengan Redmi Note 11 iaitu 5000mAh, penggunaan saya yang lebih kurang sama hanya dapat capai SOT sehingga sekitar 6 jam SOT sahaja untuk penggunaan ringan dan sekitar 3-5 jam SOT untuk penggunaan yang lebih berat. Namun untuk saya ini tidak menjadi masalah kerana Turbo Charging yang disokong mencapai sehingga 67W kuasa pengecasan, kurang satu jam cas sudah penuh.

Tetapi saya yakin untuk sesetengah pengguna, ini mungkin menjadi satu masalah. Jika dilihat pada graf penggunaan peranti, sistem Android lebih banyak menggunakan kuasa, yang mana teori saya adalah MIUI 13 pada peranti ini tidak stabil. Penggunaan kuasa juga adalah tidak cermat berbanding Redmi Note 11 biasa.

Pesaing

Redmi Note 11 Pro 5GRealme 9 ProXiaomi 11T
6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, 2400 x 1080, (~395 ppi)6.6″, IPS LCD, 120Hz, FHD+, (1080 x 2412 piksel), (~400 ppi)6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, 1080 x 2400, HDR10+, (~395 ppi)
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
MediaTek Dimensity 1200 (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 619Adreno 619Mali-G77 MC9
6/8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
6/8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
8GB RAM
128GB UFS 3.1
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
108MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
5MP, f/2.4 (makro)
16 MP (f/2.4)16 MP (f/2.1)16 MP (f/2.5)
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
RM1199 (6/ 128 GB)
RM1299 (8/128 GB)
RM1010* (6GB/128 GB)
RM1179* (8GB/128 GB)

*Harga India
RM1278 (8/128 GB)

Kesimpulan

Pegang peranti ini memang anda akan rasa wow, kerana itu yang saya rasakan. Peranti ini tidak dinafikan adalah sebuah peranti yang hebat. Ia ada potensi yang hebat kerana mempunyai skrin yang pantas, prestasi yang boleh diterima, pengecasan pantas dan kamera yang cukup cantik untuk peranti kelas ini.

Harga jualan RM1,199 dan RM1,299, ia adalah harga yang cukup baik untuk peranti kelas pertengahan yang memuatkan banyak ciri sebuah peranti kelas atasan. Namun ciri dan fungsi yang baik, jika perisiannya adalah tidak begitu hebat atau stabil – ia tidak akan memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

Sekadar untuk penggunaan asas dan gaya hidup yang minimalistik, jika anda mempunyai bajet kurang bawah RM1500 peranti ini cukup baik sebenarnya. Tetapi pada hemat saya dengan Xiaomi 11T pun sudah boleh didapatkan pada harga RM1,299 atau RM1,278 ketika promosi, ia akan menawarkan pengalaman penggunaan yang berkali ganda lebih baik. Apa-apa pun, anda adalah pengguna bijak dan pastikan keputusan yang anda lakukan tidak akan menjadikan satu perkara yang mengecewakan.


Pro

  • Skrin yang cantik dan menawan serta pantas.
  • Kamera yang cukup baik dan boleh diterima.
  • Sistem pengecasan pantas yang memudahkan lagi pengguna.
  • Bahan binaan premium mirip peranti berkelas mercu.

Kontra

  • Audio yang bermasalah.
  • MIUI 13 pada peranti ini yang tidak stabil.
  • Ketahanan bateri yang tidak begitu baik.
Komen