Imej Pengolokan Redmi K50 Pro Tertiris – Turut Menggunakan Bonggol Kamera Yang Besar

Diterbitkan pada Feb 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Redmi K50 Gaming Edition sudah pun dilancarkan pada minggu lalu. Ia adalah peranti mercu pertama Redmi tahun ini dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, skrin 120Hz, butang bahu fizikal, pengecas 120W, enjin getaran CyberEngine dan dijual pada harga sekitar RM2180.

Terkini peniris terkenal OnLeaks telah mendedahkan pula imej pengolokan peranti yang dikatakan adalah Redmi K50 Pro. Peranti ini dilihat menggunakan bonggol kamera bersaiz besar, tetapi tidak tebal dan menggunakan rekabentuk yang rata. Namun panel belakang dan sisi dilihat tidak mengikut trend rekaan terkini, kerana masih melengkung.

Rekaan ini dilihat mirip dengan Xiaomi Civi sebelum ini. Skrin hadapan hadir dengan lubang di tengah untuk kamera swafoto, di kana ada butang kuasa dan butang aras suara – tetapi tidak pasti jika pengimbas cap jari akan berada di sisi atau di bawah skrin. Cip pemprosesan dikatakan mungkin akan dijana dengan Snapdragon 8 Gen 1 atau Dimensity 9000.

Redmi K50 Gaming Edition dan K50 Pro ini kedua-duanya ada potensi tinggi untuk dilancarkan di peringkat global dengan nama lain. Ia mungkin akan diperkenalkan sebagai Poco F4 Pro, Xiaomi 12T atau juga Xiaomi 12i seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Namun butiran lengkap peranti ini, tarikh pelancaran dan lain-lain masih belum diketahui lagi. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada pihak Xiaomi, Redmi atau juga Poco nanti.

komen


© Amanz / 2022 Kami