Selepas melancarkan siri cip pemprosesan Intel Alder Lake untuk kelas desktop dan juga komputer riba berprestasi tinggi dan gaming, Intel dilihat melancarkan dua lagi cip pemprosesan siri Alder Lake P dan Alder Lake U untuk komputer riba produktiviti dan nipis dan ringan.

Bermula dengan siri Alder Lake P, cip pemprosesan tersebut merupakan penjenamaan semula siri cip pemprosesan U 28W yang menggunakan kuasa lebih tinggi, manakala siri Alder Lake U menggunakan kuasa 15W dan 9W sahaja.

Alder Lake P juga hadir dengan jumlah teras yang cukup banyak, dimana cip pemprosesan Intel Core i7-1280P hadir dengan 14 teras fizikal, dimana enam daripadanya ialah teras Performance yang mempunyai fungsi Hyperthreading dengan kelajuan turbo 4.8GHz dan juga mempunyai cip grafik Intel Xe terbina dengan 96 unit pemprosesan.
Untuk siri CPU Intel Alder Lake U, mereka memperlihatkan 10 model CPU, 5 daripadanya hadir dengan penggunaan kuasa 15W, manakala lima lagi CPU menggunakan 9W kuasa sahaja, dan cukup sesuai untuk model-model komputer riba nipis dan ringan dan juga yang tidak memerlukan kuasa yang begitu tinggi.

Tidak seperti cip pemprosesan Alder Lake P, siri CPU Intel Alder Lake U semuanya hadir dengan dua teras Performance untuk membolehkan CPU-CPU ini hadir dengan kadar penggunaan kuasa yang sangat rendah tersebut.

Dari segi prestasi, siri cip pemprosesan CPU Alder Lake P dikatakan hadir dengan penambahan prestasi sehingga 70 peratus lebih tinggi berbanding dengan siri cip pemprosesan Intel Rocket Lake U sebelum ini.
Selain itu, ia juga hadir dengan sokongan ciri-ciri tambahan seperti Thunderbolt 4, WiFi 6E, HDMI 2.0b yang boleh mengolah resolusi paparan sehingga 4K dan juga menyokong teknologi penghantaran data PCIe 4.0 buat pertama kalinya dalam sebuah komputer riba kelas nipis dan ringan.

Dalam pada itu, cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang terbina didalam cip pemprosesan Alder Lake P dan U ini juga dilihat mampu menggerakkan permainan komputer moden dengan resolusi dan kadar bingkai yang agak tinggi dengan tetapan yang munasabah.
Siri-siri komputer riba yang menggunakan siri cip pemprosesan Intel Alder Lake P dan Alder Lake U akan tiba di pasaran bermula bulan Mac ini, bermula dengan siri Acer Swift 5 dan Swift 3 yang baru diperkenalkan.