Carian
Apple Store Terkini Di Abu Dhabi Dibina Di Atas Tangga Air
February 25, 2022 Effi Saharudin

Setiap Apple Store yang dibuka adalah unik dengan elemen tertentu diketengahkan bagi menjadikannya unik. Di Singapura Apple Store terapung berbentuk bulat dibuka dua tahun lalu dan di Bangkok pula ia kelihatan seperti pokok dengan dinding kaca. Hari ini Apple Al Maryah Island telah dibuka di Abu Dhabi dan ia dibina di atas pentas dengan tangga air.

Ruang pameran berbentuk empat segi dengan dinding kaca dari empat arah bagi membenarkan cahaya semula jadi menerangi ruang pameran. Pelanggan memasuki kedai menerusi terowong utama sepanjang 72 kaki atau dua platform granit yang merentasi tangga air yang mengelilingi struktur. Bahagian atapnya pula diperbuat daripada gentian kaca berwarna emas yang mirip penutup sebuah MacBook.

Tangga air yang sentiasa mengalir dimasukkan ke dalam rekaan kedai bukan sekadar untuk membuatkannya kelihatan unik tetapi turut menyejukkan lantai serta udara ruang kedai. Apple Al Maryah Island ialah Apple Store kedua di Abu Dhabi.

Komen