Lakaran Vivo X Fold Tertiris – Mungkin Hadir Dengan Paparan 120Hz

Diterbitkan pada Mac 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo sebelum ini telah mengesahkan bahawa siri NEX kini diberhentikan. Ia kemudiannya akan diganti pula oleh peranti siri X selepas ini. Pada masa sama, Vivo turut menjanjikan sokongan teknologi baru melaluinya dan terdapat ura-ura yang mengatakan model baharu kelak ditawarkan dalam rekaan skrin boleh-lipat.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, kini tular satu lakaran yang didakwa menunjukkan reka bentuk untuk peranti boleh-lipat pertama keluaran Vivo. Mungkin dikenali sebagai Vivo X Fold, lakaran berkenaan dikongsi oleh Digital Chat Station menerusi kemas-kini di Weibo.

Dapat dilihat dengan jelas, peranti mempunyai konsep yang sama seumpama Samsung Galaxy Z Fold dengan lipatan ke dalam. Ia menampilkan skrin luar dengan rekaan sejenis berlubang dengan sokongan kamera swafoto tunggal pada bahagian tengah. Paparan ini dijangka turut sama menyokong ciri kadar segar semula yang tinggi mencapai 120Hz.

Menurut spekulasi awal, Vivo Fold X akan mempunyai skrin utama sebesar 8-inci, sementara itu skrin sekunder pula bersaiz 6.5-inci. Pada masa sama, peranti juga dikatakan menyokong kaca UTG bagi memberikan ketahanan kepada skrin boleh-lipat yang digunakan. Bukan itu sahaja, teknologi pengimbas cap jari ultrasonik dijangka turut menyokong peranti kelak.

Seterusnya, panel belakang peranti turut memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat. Turut kelihatan, terdapat satu lagi modul kamera berbentuk bulat di dalamnya dengan sokongan sistem kuad-kamera utama.

Kalau perasan, salah satu daripadanya adalah lensa berbentuk empat segi – memberikan gambaran di mana ia mungkin turut mempunyai kemampuan zum yang tinggi menggunakan sistem periskop. Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh pelancaran rasmi peranti yang dikongsi.

Sumber : Sparrow News

komen


© Amanz / 2022 Kami