Cari @ Amanz

Huawei Nova 9 SE dilancarkan di Malaysia hari ini sebagai model kemas kini untuk Nova 9. Seperti biasa siri Nova memberikan penekanan kepada rekaan premium yang menarik, kemampuan fotografi dan harga yang menarik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Maka kali ini pada Nova 9 SE, peranti dilengkapi sensor kamera gergasi 108MP yang dipadankan pula dengan cip Snapdragon 680. Dari segi spesifikasi ia lebih rendah berbanding Nova 9 dan Nova 8. Dalam ulasan ini kami cuba menjawab soalan sama ada peranti kelas pertengahan ini masih boleh tahan untuk dibeli dalam pasaran yang sangat kompetitif.


Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei Nova 9 SE
Skrin6.78″ IPS LCD, 1080 x 2388
387 ppi, 90Hz
PemprosesSnapdragon 680 4G (6nm)
Cip4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM8 GB RAM
Muatan Dalaman128 UFS 2.2 (Mikro SD 1TB)
Kamera Utama108MP, f/1.9 (utama),
8MP, f/2.2 (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Swafoto16MP, f/2.2
Bateri4,000 mAh
Berwayar
Pengecasan pantas 66W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM1099 (8/128 GB)

Peranti lebih terkini seharusnya mempunyai spesifikasi yang lebih baik berbanding peranti terdahulu. Tetapi logik ini tidak boleh digunapakai pada Nova 9 SE kerana skrin 6.78″ yang digunakan adalah dari jenis IPS LCD dan bukanya OLED seperti Nova 9. Ia cuma lebih besar dan mengekalkan kadar segar semula 90Hz. Penggunaan panel LCD adalah mengecewakan kerana dapat dilihat kekurangannya sejak kali peranti peranti dihidupkan.

Keseluruhan skrin tidak memaparkan waran putih yang sekata dengan bahagian bucu mempunyai kesan seperti pelangi yang agak aneh. Panel adalah rata dan selesa digunakan tetapi di bawah matahari yang terik adalah sukar untuk melihatkan apa yang dipaparkan. Dengan penggunaan teknologi LCD juga, peranti tidak mampu memaparkan sebarang kandungan HDR serta pengimbas cap jari diubah ke bahagian sisi. Pada Nova 8 pengimbas cap jarinya terletak di bawah skrin secara terbina.

Bezel adalah hampir sekata dengan hanya bezel dagu sedikit lebih tebal. Kekecewaan kami dengan skrin sedikit terubat kerana panel terasa pantas dan mengesan setiap sentuhan dengan jitu. Nova ialah peranti yang terkenal dengan kemasan tahap mercu pada spesifikasi kelas pertengahan. Dengan panel LCD ini imej premium siri ini sedikit tercalar.

Peranti dijana cip lapan-teras Snapdragon 680 4G yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada empat teras Kryo 265 Gold (berasaskan Cortex-A73) dan empat teras Kryo 265 Silver (berasaskan Cortex-A53) dengan GPU Adreno 610. Ini meletakkan Snapdragon 680 di belakang Snapdragon 690 dan Dimensity 820 yang kini popular di kalangan peranti kelas pertengahan di Malaysia. Bagaimana pula jika dibezakan dengan Nova 9 yang dipasarkan pada September tahun lalu? Lagilah jauh panggang dari api kerana peranti tersebut dilengkapi Cip Snapdragon 778 4G.

Penuruntarafan pemproses juga membingungkan kerana pada Nova 8, cip Kirin 820E dengan 3x Cortex A76 dan 3x Cortex-A55 telah digunakan. Kami faham bahawa Huawei mempunyai masalah mendapatkan bekalan cip pada waktu ini tetapi Snapdragon 680 ialah langkah kebelakang kedua selepas penggunaan skrin LCD. Ini dipadankan pula dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 128GB. Huawei tidak menyertakan ciri penambahan RAM secara maya pada peranti ini.

Membekalkan kuasa ialah sebuah bateri sebesar 4000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W menerusi port USB-C. Ini mungkin ciri yang paling tidak mengecewakan kerana walaupun saiz bateri adalah agak kecil untuk skrin besar, ia hadir dengan pengecas yang amat pantas dengan setiap pembelian.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 8MP, 2MP kedalaman dan makro 2MP di bahagian belakang. Dari spesifikasi yang diberikan, tidak ada langsung sistem OIS disertakan. Seperti yang anda mungkin sudah maklum, OIS adalah penting bagi kamera untuk mendapatkan imej yang lebih tajam. Jadi harapan kami untuk kemampuan kamera Nova 9 SE kini perlu direndahkan. Penggunaan sensor 2MP untuk makro juga mengecewakan kerana setakat ini tidak ada satupun sensor dengan saiz ini mampu mengambil gambar makro yang memuaskan.

Tubuh peranti diperbuat daripada logam dengan bingkai yang agak besar khususnya pada sisi kanan bagi meletakkan sebuah pengimbas cap jari. Panel belakang nampak seperti kaca tetapi terasa lebih seperti plastik dengan kemasan berkilat yang cantik. Cantik memanglah cantik tetapi ia terlalu mudah menjadi kotor. Mujur Huawei memberikan sebuah kerangka silikon untuk mempertahankan panel dari sebagai cemar.

Walaupun plastik peranti masih terasa sedap di dalam tangan. Tidak terlalu berat tidak pula terlalu ringan. Walaupun bonggol kamera belakangnya agak besar (seperti Nova 9 dan Nova 8) peranti masih seimbang. Tidak seperti Poco X4 Pro 5G yang berat kepala sehingga peranti kerap terasa akan terjatuh dari tangan. Bonggol pada peranti memang agak besar maka membuatkan tidak boleh diletakkan rata pada meja. Sekali lagi terima kasih Huawei kerana kerangka yang diberikan menyelesaikan isu bonggol dan panel cepat kotor secara serentak.

Lupa pula untuk menyentuh mengenai butang laras suara pada sisi kanan peranti yang terasa tegap walaupun kami merasakan ia tidak diperbuat daripada logam. Sedikit aneh pada Nova 9 SE ialah talam SIM berganda saiz nano diletakkan pada pada bahagian atas. Tiada slot untuk NM Card maka storan yang dibeli ialah storan yang akan digunakan sehingga sangkakala ditiup oleh Israfil.

Pembesar suara mono disertakan dengan kekisi speaker diletakkan di bahagian bawah. Tiada Dolby Audio pada peranti tetapi digantikan dengan sistem Huawei Histen mereka sendiri. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C.

Perisian

Peranti yang kami terima awal menggunakan EMUI 12.0.1 yang berasaskan Android 11 dan bukannya HarmonyOS. Jenis perisian yang digunakan Huawei adalah tidak sekata sehingga mengelirukan. Pada waktu artikel ini ditulis kami percaya pada peranti yang akan dijual kepada umum kelak HarmonyOS akan digunakan atau diberikan menerusi kemas kini.

EMUI 12 ialah antaramuka yang kemas dan dipenuhi dengan pelbagai ciri tersendiri. Seperti yang kami ada katakan pada ulasan Huawei P50 Pro dan P50 Pocket, HarmonyOS serta EMUI kini kelihatan seperti sebuah sistem operasi hibrid. Elemen antaramuka Android digabungkan dengan Control Panel dari iOS. Kami merasakan hasilnya ialah antaramuka yang mesra pengguna serta mudah difahami tanpa membaca manual terlebih dahulu.

Penggunaan EMUI 12 adalah amat lancar tanpa sebarang isu kecuali seperti anda semua sedia maklum tiadanya sokongan GMS. Kita sudah memasuki tahun ketiga Huawei dikenakan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat. Ingin kami katakan sistem HMS yang digunakan kini sudah matang dengan penawaran yang setanding dengan yang ditawarkan oleh Google. Tetapi ini adalah tidak benar sama sekali.

Hakikatnya memang jumlah aplikasi yang boleh dimuat turun dari Huawei App Gallery adalah banyak tetapi masih belum setanding dengan Play Store. Terdapat Petal Search untuk memudahkan carian aplikasi yang tiada tetapi ia masih belum penyelesaian paling elegan. Setiap aplikasi yang dimuat turun menerusi Petal Search perlu menjalani proses menekan kebenaran beberapa kali kerana sistem keselamatan peranti masih melihatnya sebagai langkah berisiko.

Muat turun mudah tetapi proses kemas kini tidak berlaku automatik. Ia perlu dilakukan secara manual setiap kali. Ini tidak akan berakhir selagi kerajaan Amerika Syarikat menarik semula kesemua halangan yang dikenakan ke atas Huawei. Presiden telah bertukar tetapi kebarangkalian ini berlaku adalah sama seperti Manchester United memenangi EPL tahun ini.

Seperti yang banyak kali kami katakan dalam ulasan peranti-peranti Huawei sejak tiga tahun kebelakangan ini. Peranti Huawei kini hanya boleh disarankan kepada pengguna yang memang tidak memerlukan langsung ekosistem Google atau perisian dari Barat. JIka anda tergolong dalam kumpulan ini Nova 9 SE adalah peranti yang tidak memberikan sebarang isu. Ia adalah sistem operasi yang amat lancar dan pantas walaupun menggunakan cip Snapdragon 680 4G yang tidak begitu berkuasa.

Antara ciri menarik pada EMUI 12 ialah.

  • Huawei Share – Perkongsian pelbagai fail dengan mudah dan pantas antara peranti Huawei.
  • Device+ – Tambatan mudah kepada produk di bawah ekosistem Huawei.
  • Senior Mode – Antaramuka mesra warga emas.
  • Gestur – Mengawal peranti dengan gestur tanpa butang kawalan.
  • Cutout – Menyorokkan lubang kamera dengan meletakkan palang hitam di atas skrin.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:

  • Geekbench 5 – 385 markah (1 teras)/ 1661 markah (multi teras)
  • Antutu 3D – 259,954 markah

Markah yang dicatatkan adalah sederhana sahaja dengan ia sedikit lebih tinggi apabila dibandingkan dengan Honor 50 Lite dengan Snapdragon 662 (11nm) dengan skor Geekbench 5 808/1248 markah dan Antutu 3D pula mencatatkan 211,679 markah.

Oleh sebab itu prestasi permua adalah amat bergantung kepada tahap keperluan grafik. Kesemua permua ringan seperti Clash of Clans, Temple Run dan Stardew Valley boleh dimainkan dengan lancar. Berubah ke permua seperti PUBG Mobile dan COD Mobile, Nova 9 SE hanya boleh memainkannya pada tetapan sederhana sahaja.


Telefoni dan GPS

Snapdragon 680 sekadar menyokong rangkaian 4G dan bolehlah dilihat sebagai pengganti Snapdragon 662. Kualiti 4G LTE peranti bergantung pada rangkaian. Jika baik maka baiklah ia. Kami sedari sejak 3G dimatikan, kesemua rangkaian 4G di Malaysia menjadi kurang stabil. Prestasi 4G pada Nova 9 SE adalah memuaskan dan begitu juga dengan telefoni.

Prestasi GPS sebaik prestasi selular. Lokasi dapat dijejak dengan mudah apabila aplikasi dibuka. Sambungan GPS adalah stabil sungguhpun apabila kereta bergerak di tengah-tengah KL dengan banyak bangunan yang tinggi.

Kamera

Siri Nova terkenal dengan kemampuan fotografinya yang baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Pertaruhan Huawei tahun ini ialah dengan menggunakan sensor lebih besar dengan sistem gabungan pixel atau lebih dikenali sebagai pixel binning. Sensor utama memang 108MP di atas kertas tetapi imej akhir yang ditangkap adalah sebesar 12MP sahaja. Teknik ini sudah digunakan pada pelbagai peranti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Aplikasi kamera pada Nova 9 SE adalah mudah difahami kerana tiada bezanya dengan kesemua aplikasi kamera Huawei sebelum ini. Terdapat label yang terang menunjukkan setiap ciri dan juga mod yang mengoptimasikan proses pengambilan gambar. Antara mod yang disertakan ialah Portrait, Super Macro, Night, Aperture, Pro dan banyak lagi. Sistem kecerdasan juga disertakan yang memberikan saranan bergantung kepada objek yang ingin diambil.

Prestasi fotografi peranti hanyalah sekadar sederhana. Jika peranti dipegang dengan stabil, gambar yang diambil adalah memuaskan lebih-lebih lagi dalam kawasan dengan pencahayaan yang baik. Seperti yang anda dapat lihat di bawah, gambar adalah sedikit gelap jika ingin dibandingkan dengan peranti kelas mercu. Ia juga sedikit lembut dan tidak begitu tajam. Tanpa OIS ini ialah standard gambar yang boleh diambil. Jelas perbezaannya dengan Galaxy A52s dan Realme 9 Pro+ yang dilengkapi OIS.

Prestasi mod malam juga adalah kurang memuaskan. Lihat gambar terakhir di bawah. Gambar waktu malam kabur, mempunyai hingar yang tinggi serta kualiti warna yang tidak memuaskan. Mod makro juga tidak begitu baik tetapi ini sudah dapat diagak kerana sensor hanya sebesar 2MP. Untuk sekalian kalinya kami memohon pengeluar untuk menghentikan penggunaan sensor 2MP untuk makro. Lebih baik tidak disertakan langsung kerana sekadar meningkatkan kos sahaja.


Bateri

Kapasiti bateri 4000 mAh adalah kecil untuk peranti dengan skrin besar dan LCD. Ia hanya mampu menawarkan SOT sekitar 7 jam dan hayat penggunaan terbaik sekitar 12 jam sahaja pada penggunaan yang sederhana. Pada penggunaan yang lebih berat seperti memasang GPS, menstrim video dan sedikit permua SOT hanya sehingga 5 jam. Ini bukanlah hayat bateri yang memuaskan. Nova 9 SE bernasib baik kerana dengan pengecas Huawei SuperCharge 66W, bateri kecil ini boleh dicas semula dalam masa 36 minit yang amatlah pantas. Pengecasan yang disokong adalah menggunakan kabel sahaja tanpa sokongan nirwayar.

Audio

Hanya speaker mono disertakan makan prestasi audio juga kurang memuaskan seperti prestasi bateri peranti. Pada tetapan paling lantang, audio masih lagi jelas. Kemampuan audio yang lebih baik dapat dinikmati menggunakan aksesori audio namun ia tidaklah begitu menakjubkan.

Pesaing

Huawei Nova 9 SEOppo A76Redmi Note 11
6.78″ IPS LCD, 90Hz, 1080 x 2388, (387 ppi)6.56″ IPS LCD, 90Hz, 720 x 1612, (269 PPI)6.43″ AMOLED, 90Hz, 1080 x 2400, (409 ppi)
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
6 GB RAM
128 GB UFS 2.2
4/6 GB RAM
64/128 GB UFS 2.2
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
13MP, f/2.2 (utama)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (monokrom)
16 MP (f/2.2)8 MP (f/2.0)13 MP (f/2.4)
Tiada Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm Bicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio MonoAudio Stereo
4000 mAh
Pengecasan pantas 66W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
RM1099 (8/128 GB)RM899 (6GB/128 GB)RM799 (4/64 GB)
RM869 (6/128 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Huawei Nova 9 SE
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 2 pin 65W Huawei SuperCharge
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Huawei Nova 9 SE ialah peranti kelas pertengahan yang kurang berdaya saing di dalam pasaran yang sangatlah kompetitif. Kelebihan peranti terletak pada skrin yang besar yang membuatkan ia sesuai digunakan untuk menonton video dan hadir juga dengan sokongan 90Hz bagi memberikan pengalaman penggunaan peranti yang lancar. Pemproses Snapdragon 680 walaupun bukan yang paling berkuasa adalah memadai untuk keperluan harian seperti melayari web, menggunakan aplikasi media sosial dan permua yang tidak intensif.

Rekaan peranti juga menarik dengan mengekalkan rekaan Nova 9 yang kelihatan premium walaupun panel belakang diperbuat daripada plastik. Tambahan lagi sistem pengecasan yang disokong mampu mengecas semula bateri dalam masa kurang 40 minit. Peranti juga hadir dengan kerangka dan pengecas percuma dengan setiap pembelian.

Tetapi terdapat kelemahan yang nyata pada skrin yang masih lagi LCD, bateri yang tidak bertahan lama, tiada speaker stereo dan kemampuan kamera juga hanya sederhana. Isu mengenai HMS memang diketahui ramai tetapi jika anda langsung tidak menggunakan ekosistem Google ini bukanlah batu penghalang.

Dengan harga jualan RM1099, Nova 9 SE ialah peranti mampu milik dengan serba serbi sederhana. Bagi mereka yang mahukan sebuah telefon pintar yang mampu melakukan perkara asas dengan baik, ia adalah peranti yang boleh tahan.


Pro

  • Skrin yang besar
  • Kemasan tubuh yang cantik.
  • Cip pemproses kelas pertengahan memenuhi keperluan.
  • Sistem pengecasan yang amat pantas.
  • Harga mampu milik.

Kontra

  • Prestasi bateri yang lemah.
  • Kamera tidak dilengkapi OIS.
  • Speaker mono tiada bicu audio.
  • Tiada GMS
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd