Cari @ Amanz

Kembali lagi kita ke episod “Serupa Tetapi Tak Sama” dan kali ini tiba giliran Poco X4 Pro 5G yang baru sahaja dilancarkan secara rasmi sempena MWC Barcelona beberapa hari yang lalu. Seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, peranti lain di bawah payung Xiaomi iaitu Redmi Note 11 Pro 5G telah diubahsuai menjadi sebuah peranti Poco.

Apakah perbezaan di antara kedua-dua peranti ini dan yang manakah memberikan nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan? Pandang pertama Poco X4 Pro 5G akan cuba menjawab persoalan ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Poco X4 Pro 5G
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+ 2400 x 1080
~395 ppi, 120Hz
PemprosesSnapdragon 695 (6nm)
Cip2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM6/8 GB RAM
Menyokong memori maya, Memory Extension
Muatan Dalaman128/256GB UFS 2.2 (Mikro SD 1TB)
Kamera Utama108MP, f/1.9 (utama),
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Swafoto16MP, f/2.4
Bateri5,000 mAh
Berwayar
Pengecasan pantas 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM1199 (6/128 GB)
RM1499 (8/256 GB)

Tiada perubahan dilakukan pada teknologi skrin rata sebesar 6.67″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+. Teknologi AMOLED memberikan sudut pandangan peranti yang baik serta kelihatan lebih baik di bawah cahaya mentari yang terik di Malaysia.

Satu perkara yang kurang kami senangi ialah saiz bezel skrin yang tidak sama besar. Jelas ia lebih besar pada bahagian dagu yang membuatkan keseimbangan skrin terganggu. Ini ialah isu biasa pada peranti kelas pertengahan dan permulaan kerana panel yang kurang premium digunakan.

Sat trend aneh yang kami sedari ialah walaupun skrin adalah AMOLED 120Hz, ia tidak hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin. Sebaliknya pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sisi kanan tubuh.

Peranti dijana cip lapan-teras Snapdragon 695 yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada dua teras Kryo 660 (berasaskan Cortex-A78) dan enam teras Kryo 660 Silver (berasaskan Cortex-A55) dengan GPU Adreno 619L. Di atas kertas ia adalah lebih baik berbanding cip Sanpdragon 690 yang masih menggunakan teras Cortex A77.

Ini dipadankan pula dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Ini perbezaan pertama antara X4 Pro 5G dan Note 11 Pro 5G kerana peranti Redmi hanya ditawarkan dengan storan sehingga 128GB sahaja. Bagi yang merasakan RAM mungkin tidak mencukupi, X4 Pro hadir dengan ciri Memory Extension sehingga 2GB yang mengambil sebahagian storan.

Membekalkan kuasa ialah sebuah bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W menerusi port USB-C. Pengecas ini disertakan sekali dengan setiap pembelian dengan kabel USB-A ke USB-C. Poco juga tidak lokek memberikan sebuah kerangka silikon lutcahaya, pemancar infra merah dan juga bicu audio 3.5mm. Memang ini peranti kelas pertengahan tetapi ia hadir dengan beberapa ciri yang telah pupus pada peranti yang lebih mercu di pasaran.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP di bahagian belakang. Ketiga-tiga sensor tidak dilengkapi sistem OIS. Pada bahagian hadapan pula sensor 16MP digunakan dengan kamera diletakkan pada dalam butang kamera. Bonggol kamera pada X4 Pro 5G adalah amat besar sehingga sama lebar dengan tubuh. Rekaannya memang unik tetapi menimbulkan isu yang akan saya terangkan di bawah.

Keseluruhan kerangka diperbuat daripada logam yang terasa berat di dalam tangan. Butang kuasa dan juga butang laras audio terletak di sisi kanan. Talam SIM yang menyokong dua SIM bersaiz nano dan kad mikro SD diletakkan di bahagian bawah. Menarik sekali pada X4 Pro ialah dua kekisi speaker stereo diletakkan pada bahagian atas dan bawah.

Hasilnya ialah audio pada peranti ini kedengaran lebih seimbang kerana menembak ke tepi dengan sekata. Speaker turut menyokong sistem audio Dolby Atmos. Jarang sekali kami melihat ia disokong pada speaker fizikal peranti kelas pertengahan kerana selama ini hanya boleh digunakan apabila disambung ke fon telinga.

Bercakap mengenai keseimbangan, harus kami katakan peranti terasa sedikit canggung di dalam tangan kerana bonggol kameranya yang besar. Ia berat di bahagian kepala sehingga terasa seperti ingin terjatuh dari tangan dengan kerap. Rekaan bonggol yang amat besar ini memang kami akui unik tetapi masih tidak menyelesaikan isu peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Jelas ia sekadar pilihan estetik yang kurang praktikal.

Satu ciri rekaan yang praktikal ialah bahagian sisi peranti yang rata. Trend sisi rata kembali popular selepas bertahun rekaan sisi bulat menjadi ikutan industri. X4 Pro 5G amat selesa di dalam tangan dan terasa teguh disebabkan rekaan ini. Ia terasa premium di dalam tangan ditambah pula dengan penggunaan panel kaca di bahagian belakang.

Perisian

Peranti menggunakan pelancar MIUI 13 tetapi masih berasaskan Android 11. Mengecewakan tetapi ini turut berlaku pada Note 11 Pro 5G. Dari segi perisian tiada langsung perbezaan di antara kedua-dua peranti. Penggunaan awal terasa lancar jika menggunakan mod 120Hz. Semua aplikasi dilancarkan dengan pantas tanpa sebarang isu tidak boleh dijalankan atau tidak serasi.

Isu hanya mula kelihatan apabila menggunakan mod 60Hz. Mungkin kami sudah dibiasakan dengan mod 120Hz dan kembali ke skrin dengan kadar segar semula lebih rendah membuatkan kesemuanya terasa kurang lancar dan tersengguk.

Dari segi rekaan antaramuka, MIUI 13 adalah kemas dengan kelihatan hampir stok. Kami suka dengan sistem multi tugas yang menunjukkan lebih banyak aplikasi yang telah dibuka secara serentak. Pengguna turut diberikan ciri tambahan seperti ruang simpanan peribadi yang dikunci, mengunci sesetengah aplikasi dan juga aplikasi yang mengoptimasikan sistem peranti dengan membuang fail yang tidak lagi diperlukan.

Sejurus selepas peranti diaktifkan, sudah terdapat beberapa aplikasi terpasang seperti PUBG Mobile, Agoda, Amazon Shopping dan State of Decay. Kami tahu aplikasi-aplikasi ini mungkin popular tetapi kurang senang ia sudah sedia terpasang tanpa kebenaran. Berita baik ialah kesemuanya boleh dibuang jika tidak diperlukan pengguna.


Kamera

Berikut pula ialah beberapa sampel gambar yang diambil menggunakan kamera Poco X4 Pro 5G setakat ini. Aplikasi kamera mudah digunakan dan hadir dengan pelbagai ciri menarik seperti mod malam, potret, panorama dan banyak lagi.

Pesaing

Poco X4 Pro 5GRealme 9 ProRedmi Note 11 Pro 5G
6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, 2400 x 1080, (395 ppi)6.6″, IPS LCD, FHD+, 120Hz, (1080 x 2412 piksel), (400 ppi)6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, 2400 x 1080, (395 ppi)
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Adreno 619Adreno 619Adreno 619
6/8 GB RAM
128/256 GB UFS 2.2
6/8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
6/8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
16 MP (f/2.4)16 MP (f/2.1)16 MP (f/2.4)
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
RM1199 (6/128 GB)
RM1499 (8/256 GB)
RM1099 (6GB/128 GB)
RM1599 (8GB/256 GB)
RM1199 (6/128 GB)
RM1299 (8/128 GB)

Kesimpulan

Poco X4 Pro 5G memang hanyalah sebuah Redmi Note 11 Pro 5G dengan tubuh yang ditukar dan saiz storan ditambah. Kesemua spesifikasi peranti adalah amat mirip begitu juga dengan perisian yang digunakan. Berdasarkan pengalaman kami selama beberapa jam, tiada langsung perbezaan pengalaman penggunaan peranti ini dengan kembarnya.

Perbezaan yang wujud hanyalah kecil seperti peranti ini lebih berat di bahagian kepala kerana penggunaan bonggol kameranya yang amatlah besar. Memang nampak unik tetapi malang sekali ia kurang praktikal setakat ini.

Dengan penawaran harga juga yang setanding, peranti mana yang lebih baik hanya bergantung kepada jenama mana yang lebih anda minati. Nantikan ulasan penuh Poco X4 Pro 5G dalam masa terdekat di Amanz. Poco X4 Pro 5G ini boleh ditempah di Malaysia bermula hari ini pada harga RM1099 untuk model 6GB RAM, dan RM1499 untuk model 8GB RAM.


Pro

  • Skrin besar yang terang.
  • Cip pemproses kelas pertengahan yang agak berkuasa.
  • Sistem pengecasan pantas yang disertakan dengan pembelian.
  • Bahan binaan premium mirip peranti berkelas mercu.
  • Sistem audio stereo di sisi tubuh peranti.

Kontra

  • Bonggol kameranya yang agak besar membuatkan kepala peranti berat.
  • Kamera tidak dilengkapi OIS.
  • Spesifikasi yang hampir tiada beza dengan Note 11 Pro 5G.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd