10 Perkara Menarik Dan Mengecewakan iPhone SE 2022

Diterbitkan pada Mac 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple melancarkan iPhone SE 2022 semalam dengan rekaan retro lengkap dengan Touch ID dan juga skrin yang masih tidak menyeluruh. Rekaannya mungkin mengimbau rekaan 2016 tetapi peranti diberikan kemas kini dengan pemproses Apple A15 Bionic yang digunakan pada siri iPhone 13 tahun lalu. Seperti biasa apabila peranti baharu Apple diumumkan timbul persoalan adalah ia berbaloi. Apakah pula yang menarik dan apakah pula yang mengecewakan tahun ini. Di bawah ialah 10 perkara menarik dan mengecewakan pada iPhone SE 2022

1.Menarik – Apple A15 Bionic

Selepas dua tahun, iPhone SE kali ini diberikan “enjin”pemprosesan yang paling berkuasa untuk iPhone iaitu A15 Bionic. Cip enam teras ini adalah sama seperti yang digunakan pada siri iPhone 13 tahun lalu. Bagi mereka yang mencari iPhone yang berkuasa tetapi pada harga yang jauh lebih mampu milik, ini ialah peranti yang anda perlu beli. Jika markah penanda aras Geekbench 5 boleh dijadikan kayu pengukur, A15 Bionic masih lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Gen 1 yang digunakan pada S22 Ultra dan Mi 12.

2.Menarik – Rekaan kompak klasik

Masih terdapat sebilangan pengguna yang lebih menggemari rekaan iPhone lama yang kecil. Bagi golongan ini peranti yang boleh digunakan selesa sebelah tangan adalah lebih penting berbanding skrin besar. Apple juga masih belum mahu membiarkan golongan ini terkontang-kanting tanpa pilihan untuk rekaan seperti ini dan itulah sebab mengapa iPhone SE 2022 dilancarkan pagi tadi. Selain menyasarkan pengguna tegar iOS, peranti juga kini menyasarkan pengguna Android yang inginkan sebuah telefon pintar berkuasa pada saiz yang kecil. Di pasaran sekarang hanya Asus Zenfone 8 bole dikategorikan sebagai kompak dengan skrin 5.9″. Itupun ia masih agak besar untuk digunakan selesa sebelah tangan.

3.Menarik – Harga mampu milik

iPhone SE 2022 dijual pada harga bermula RM2099 yang adalah amat mampu milik dan adalah lebih murah berbanding iPhone 11 yang dijual pada harga bermula RM2399 dengan pemproses Apple A13. Bagi mereka yang mencari iPhone dengan nilai terbaik serta tidak memerlukan sistem kamera yang kompleks, iPhone SE 22 ditawarkan pada harga yang boleh dianggap sebagai tidak masuk akal. Peranti Android yang mampu memerikan saingan sengit ialah Xiaomi 12 dengan harga jualan bermula sekitar RM2500.

4.Menarik – Touch ID

Touch ID dikekalkan. Kami tahu ramai sudah berpindah ke Face ID tetapi Touch ID masih mempunyai beberapa kelebihan berbanding sistem imbasan wajah. Pertama sekali ialah nyahkunci yang lebih pantas dan mesra pandemik dimana kita masih memakai pelitup muka. Face ID yang boleh berfungsi dengan pelitup muka sedang diuji tetapi ia masih tidak akan dapat menandingi kepantasan Touch ID. Contoh terbaik ialah Touch ID membolehkan peranti dikunci dari dalam poket tanpa muka melihat skrin.

5. Mengecewakan – Masih LCD 60Hz

iPhone SE 5G

Siri iPhone SE masih lagi menggunakan skrin LCD 60Hz yang agak kuno. Pada peranti Android, skrin ini hanya digunakan pada peranti pertengahan rendah dan permulaan sahaja. Kadar segar semula yang rendah ini juga tidak selari dengan tahun 2022. Isu lain dengan skrin LCD ialah ia tidak boleh digunakan dengan mudah di bawah cahaya matahari dan penghasilan semula warna yang kurang baik.

6. Mengecewakan – Tiada audio spatial

Apple Music diiklankan sebagai platform muzik Dolby Atmos dan audio spatial. Kedua-dua ciri ini tidak disokong oleh iPhone SE 2022. Masih lagi misteri mengapa ciri-ciri audio mantap ini tidak diberikan pada iPhone SE 2022 tetapi boleh pula pada Studio Display yang sekadar menggunakan cip Apple A13 Bionic.

7.Mengecewakan – Sistem kamera lama

Kamera dari iPhone SE asal nampaknya dikitar semula pada iPhone SE 2022 dengan hanya penambahan sokongan Deep Fusion sahaja. Saiz sensor, bukaan lensa, sistem penstabilan imej, dan tahap zum juga masih di takuk lama. Peranti sekadar boleh melakukan zum digital sehingga 5 kali sahaja. Ini menjawab persoalan mengapa peranti ini boleh dijual pada harga yang amat mampu milik kerana majoriti komponen dikitar semula dari model terdahulu.

8. Menarik – Prestasi Bateri Lebih Baik

Apple menjanjikan prestasi bateri yang dua jam lebih baik berbanding model tahun 2020. Ini adalah penting kerana ketahanan bateri iPhone SE 2020 adalah amat tidak memuaskan. Apple masih berahsia mengenai saiz bateri yang digunakan pada iPhone SE 2022 tahun ini tetapi melihat trend komponen setakat ini, ia mungkin masih 1821 mAh. Berdasarkan prestasi bateri siri iPhone 13 tahun lalu dengan cip A15 Bionic yang sama, janji Apple ini berkemungkinan besar ditepati.

9. Menarik – Kalis Air IP67

Di Malaysia kemampuan kalis air pada peranti mercu adalah ciri yang wajib disertakan pada hemat kami. Dengan cuaca boleh tiba-tiba sahaja menjadi hujan tropika, peranti yang tidak akan rosak terkena air adalah perlu bagi mengelakkan kos baik pulih yang tinggi. iPhone SE 2022 melepasi piawaian IP67 yang sedikit lebih rendah daripada IP68 pada iPhone 13 tetapi adalah memadai untuk penggunaan harian di negara kita.

10. Menarik – Sokongan 5G

Kekurangan paling ketara iPhone SE 2020 ialah ia hanya menyokong rangkaian 4G sahaja. iPhone SE 2022 menyelesaikan isu ini dengan sokongan 5G Sub-6GHz. Tiada sokongan mmWave bukanlah isu besar di Malaysia pada waktu ini tetapi tiada sokongan 3.45 GHz akan menjadi isu jika ada syarikat telekomunikasi yang diberikan spektrum ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami