SKMM Memperkenalkan Aplikasi Jendela Map – Semak Liputan Rangkaian Telekomunikasi Dengan Mudah

Diterbitkan pada Mac 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada pertengahan tahun lepas, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan portal Jendela Map untuk membolehkan rakyat Malaysia melihat sendiri liputan rangkaian internet di seluruh Malaysia.

Portal tersebut juga hadir sebagai sebuah platform dimana rakyat Malaysia boleh menyalurkan pendapat dan laporan sekiranya mana-mana lokasi yang didiami mereka tidak mendapat liputan ataupun kualiti sambungan internet yang sewajarnya.

Sepanjang beberapa bulan laman tersebut beroperasi, pihak SKMM turut mendapati bahawa laman sesawang tersebut secara lazimnya diakses melalui peranti pintar ataupun mudah-alih, dan dengan itu telah membuat keputusan untuk membangunkan sebuah aplikasi yang hadir dengan fungsi-fungsi yang sama seperti laman sesawang tersebut.

Selain daripada melaporkan tentang isu rangkaian setempat, anda juga boleh menggunakan fungsi peta pada aplikasi ini untuk mencari lokasi-lokasi Pusat Ekonomi Keluarga Malaysia, Pusat Komuniti WiFi, Pejabat Pos dan sebagainya.

Aplikasi Jendela Map ini juga hadir dengan bot interaktif AIDA Chatbot yang akan memberi anda bantuan tentang cara-cara menggunakan aplikasi ini sekiranya perlu, seperti cara untuk membuat aduan, cara untuk melihat liputan rangkaian dan sebagainya.

Setakat ini, liputan rangkaian yang boleh dilihat melalui aplikasi Jendela Map ini ialah untuk rangkaian 2G, 3G, 4G dan juga rangkaian televisyen digital myFreeView.

Fungsi carian yang terbina juga dilihat akan membantu pengguna mencari fungsi dan juga maklumat yang terkandung dalam aplikasi ini dengan cepat dan mudah.

Aplikasi Jendela Map kini boleh dimuat-turun melalui peranti pintar Android dan juga iPhone melalui Google Play Store dan juga Apple App Store.

komen


© Amanz / 2022 Kami