Sebelum ini, kami sedia berkongsi berkenaan Kommu, iaitu salah satu kit swapandu yang dibangunkan untuk kereta Perodua. Selepas melalui pembangunan hampir dua tahun, Kommu kini dilihat telah mula menawarkan kit mereka untuk kereta Perodua Myvi.
Melalui kit yang berharga RM3599 ditawarkan Kommu, ia membolehkan anda memasangnya pada kenderaan, dan menikmati sistem swapandu tahap 2 pada kenderaan Myvi sedia ada.
Teknologi swapandu tahap 2 ini menawarkan kawalan aktif untuk stering kenderaan, selain kawalan minyak dengan imbasan kenderaan, serta menghentikan minyak apabila mengenal-pasti sesuatu halangan. Seperti biasa, pemantauan pemandu masih diperlukan.
Dengan penawaran Kommu ini, ia membolehkan anda menikmati teknologi swapandu tanpa mengeluarkan kos tinggi – atau membeli kenderaan berharga tinggi. Tetapi seperti biasa, terdapat kekangan untuknya seperti ketika hari hujan, jalan raya yang tidak lancar dan sebagainya – sekaligus memerlukan pemandu sentiasa berhati-hati dan meletakkan tangan pada stering sebagai berjaga-jaga.
Kommu mengatakan mereka menawarkan kit ini untuk Perodua Myvi Gen3 (2018-2020) sahaja buat masa ini. Selepas pembelian, pengguna turut boleh melakukan temujanji untuk pemasangan. Buat masa ini, masih terdapat beberapa perkara menjadi persoalan, termasuk kebenaran pihak JPJ dan keselamatan pengguna di jalan raya.
Untuk makluman, Myvi generasi baharu turut hadir dengan beberapa pemanduan pintar secara terbina – termasuk sokongan amaran pra-langgar, amaran pra-brek, Auto High Beam, dan peringatan apabila kereta hadapan telah bergerak ketika di lamput isyarat. Perodua Myvi 2022 juga turut hadir dengan amaran dan mengelak kenderaan daripada terkeluar lorong tanpa sengaja. Ciri pemantauan titik buta juga disertakan dalam mengelak sebarang kemalangan berlaku.
- Shopee : Kommu untuk Perodua Myvi