Imej Sebenar Vivo X Fold Tertiris Ke Arena Web

Diterbitkan pada Mac 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah menjadi kebiasaan kita melihat produk yang belum diumumkan tertiris lebih awal. Ia sama ada diperlihatkan dalam bentuk imej pengolokan mahupun sebenar. Baru-baru ini, tular satu gambar yang didakwa menunjukkan rekaan untuk peranti boleh-lipat milik Vivo. Ia menunjukkan peranti lengkap dengan sokongan paparan yang boleh dilipat pada bahagian dalam.

Ini adalah elemen yang sama digunakan pada Samsung Galaxy Z Fold sebelum ini. Pada masa sama, ia turut menggunakan skrin berlubang dengan kamera swafoto tunggal pada bahagian tengah. Saiz bezel pada keempat-empat sisi juga kelihatan seimbang. Namun paling ketara, skrin langsung tidak menunjukkan lipatan yang ketara. Ini adalah pengalaman yang sama boleh ditemui pada Oppo Find N dalam artikel pandang pertama kami sebelum ini. Sungguhpun begitu, kita boleh menjangkakan lama-kelamaan ia pasti akan memberi kesan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Seterusnya, Vivo X Fold juga dikhabarkan hadir dengan sokongan engsel yang baik – di mana, kos pembuatan dikhabarkan bernilai lebih daripada CNY1200 (~RM794) untuk setiap satu. Di samping itu, ia turut sama menyokong kaca UTG bagi memberikan ketahanan kepada skrin boleh-lipat yang digunakan. Turut melengkapi peranti adalah pengimbas cap jari pada skrin, yang mana dikhabarkan antara model terawal dibekalkan kebolehan demikian.

Setakat diketahui, paparan skrin Vivo X Fold bakal dilengkapi resolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Paparannya turut menyokong ciri tambahan DC Dimming. Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh pelancaran rasmi peranti yang dikongsi.

Sumber : SparrowNews

komen


© Amanz / 2022 Kami