Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Watch4 adalah jam tangan pintar pertama hadir dengan sistem operasi Wear OS 3.0. Akan tetapi ia menggunakan antaramuka tersendiri Samsung One UI dan bukannya seperti kebanyakan jam Wear OS biasa. Ini termasuk dengan ketiadaan sokongan Google Assistant pada jam ini dan beberapa ciri terhad untuk digunakan pada peranti Samsung sahaja.

Walaupun begitu, Samsung bijak menarik perhatian pengguna dengan menjual siri Galaxy Watch4 pada harga yang cukup mampu milik berbanding kebanyakan jam Wear OS seperti TicWatch Pro 3 atau Fossil Gen 6. Ogos akan datang, Samsung dikhabarkan akan hadir dengan Galaxy Watch5 pula.

Galaxy Watch5 dikatakan akan hadir dengan sensor suhu kulit menggunakan teknologi infra merah. Spesifikasi lain masih belum diketahui lagi buat masa ini seperti cip pemprosesan dan selainnya. SamMobile baru-baru ini melaporkan yang Galaxy Watch5 akan hadir dengan kapasiti bateri 10% lebih besar berbanding Galaxy Watch4.

Mereka menyatakan jam ini dengan nombor model SM-R900 akan menggunakan bateri EB-BR900ABY yang mempunyai kapasiti 276mAh. Galaxy Watch4 hanya mempunyai bateri 247mAh. Dengan saiz bateri besar ini secara teorinya akan menjadikan ketahanan bateri jam baharu Samsung ini tahan lebih lama. Akan tetapi masih bergantung juga pada penggunaan cip pemprosesan, resolusi skrin, perisian dan lain-lain sama ada adakah ia boleh memberi ketahanan yang lebih lama atau memberi lebih banyak ciri dan fungsi dengan ketahanan bateri yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd