Pandang Pertama Xiaomi 12 – Si Kecil Yang Mantap

Diterbitkan pada Mac 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi Malaysia telah pun melancarkan siri Xiaomi 12 untuk pasaran Malaysia. Peranti ini adalah peranti Snapdragon 8 Gen 1 pertama daripada mereka, dan terdapat dua model yang ditawarkan iaitu Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro. Kedua-dua peranti ini nampak menarik, ia menggunakan rekaan serba baharu yang masih mempunyai elemen rekaan Xiaomi yang semua kenal, memuatkan kamera yang cukup baik untuk peranti mercu serta padat dengan ciri menarik yang memikat hati ramai orang.

Xiaomi 12 Pro ketua kandungan kami memberi takhta sebagai pembunuh peranti mercu yang telah kembali dan peranti itu berharga RM3,899. Bagaimana pula dengan adiknya Xiaomi 12 yang mempunyai spesifikasi sedikit lebih rendah? Selepas hampir seminggu menggunakannya ini adalah pendapat awal yang saya alami dengan peranti ini.

Adakah ianya terbaik untuk anda atau kekal sahaja dengan Xiaomi Mi 11 atau Xiaomi 11T Pro?


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12
Skrin6.28″ OLED,
FHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
3GB Memori maya
Muatan Dalaman256 UFS 3.1
Kamera Utama50+13+5 Megapixel f/1.9+f/2.4+f/2.4, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.5
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 67W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 2899 (8/128GB)
RM 2999 (8/256GB)

Xiaomi 12 secara keseluruhan kelihatan lebih kurang sama sahaja dengan Xiaomi 12 Pro. Cuma ia sedikit lebih kecil dari dimensi dan saiz skrin. Skrin menggunakan panel OLED bersaiz 6.28-inci dengan resolusi FHD+, kadar segar semula 120Hz, Dolby Vision, dan HDR10+. Sokongan kadar segar semula adalah jenis adaptif dan di tetapan MIUI baharu ia membenarkan pengguna pilih yang mana satu. Peranti pula dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 4nm, GPU Adreno 730 serta dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dengan memori maya 3GB dan storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1.

Kamera peranti pula adalah tri-kamera daripada sensor 50+13+5 Megapixel dan kamera swafoto 32 Megapixel. Berbeza dengan Xiaomi 12 Pro yang kesemua sensor kamera belakang adalah 50MP. Untuk bateri juga sedikit lebih kecil, iaitu 4500mAh dan pengecasan pantas juga berbeza iaitu 67W berwayar masih HyperCharger dan 50W untuk pengecasan nirwayar pantas.

Untuk audio peranti masih menggunakan Harmon/Kardon dengan Dolby Atmos, pengimbas cap jari adalah optikal dengan pengimbas nadi, sensor infra merah juga masih kekal untuk dijadikan alat kawalan jauh, dan yang paling mengecewakan ia masih tiada sokongan IP68 untuk perlindungan daripada air.

Skrin peranti direka dengan lubang di tengah, sedikit melengkung di kedua-dua sisi, bezel juga nipis dan di sisi kanan terdapat butang kawalan suara dan butang kuasa. Di kiri tiada apa-apa, di atas ada kekisi pembesar suara dan lubang mikrofon – akhir sekali di bawah ada satu lagi kekisi pembesar suara dan lubang mikrofon dan satu slot kad SIM.

Panel belakang peranti dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5 (hanya depan sahaja Victus) dengan kemasan kusam yang licin tetapi sedap sahaja apabila dipegang dan masih ada cengkaman yang baik. Modul kamera direka dengan rekaan seakan modul yang modular kerana diasingkan setiap komponen dalam bentuk grid.

Pengalaman Penggunaan

Biasanya apabila mula menggunakan peranti Xiaomi, tetapan awal akan membuatkan peranti mudah terasa lengah masa dan akan mula memanas. Tetapi pada Xiaomi 12 ini, panas Xiaomi itu tidak terasa sepanjang proses tetapan dan pemindahan daripada peranti lama ke peranti ini. Ini membuatkan saya rasa gembira dan selesa dengan peranti ini. Skrin juga tidak ada masalah sangkut-sangkut kerana kadar segar semula adaptifnya yang semakin baik, pantas dan semakin lancar. Setiap tatalan, tidak kira dengan permua berjalan di latar, atau ada banyak aplikasi dibuka akan rasa baik sekali.

Bercakap lagi mengenai skrin, peranti mercu Xiaomi tidak pernah mengecewakan saya apabila menggunakannya di luar di bawah matahari terik. Skrin masih boleh dilihat dengan baik dan terang, serta mempunyai warna yang cantik dan tajam. Saya belum uji lagi penstriman Netflix, tetapi ada logo Dolby Vision terpapar dan YouTube pula tiada masalah mainkan video berkualiti tinggi.

Snapdragon 8 Gen 1 pula dalam percubaan ringkas membuatkan saya yakin yang peranti ini boleh pergi jauh atau tahan lama. Masih tiada masalah memanas yang serius untuk penggunaan sekitar satu minggu ini. Permua yang saya uji belum yang mencabar, tetapi untuk aplikasi berjalan di latar dan saya kunci ada banyak peranti memang masih pantas dan membuatkan saya sukar untuk tidak menggunakan peranti ini. Peranti yang hanya menggunakan memori 8GB RAM ini terasa lebih pantas dengan 3GB memori maya tambahan yang menjadikan peranti ini lebih seronok untuk digunakan. Lihat sahaja markah penanda aras di bawah;

Sistem operasi peranti ini adalah MIUI 13 berasakan Android 12. Sehingga hari ini MIUI versi global masih lagi tidak sehebat dengan MIUI versi China. Janji Xiaomi untuk kurangkan iklan dan aplikasi gendut hanya berlaku pada MIUI China dan pada global ia masih lagi menyemakkan. Aplikasi gendut walaupun boleh dibuang, ia adalah satu kerja yang menjengkelkan kerana kebanyakan aplikasi itu tidak akan digunakan dan hanya membazir ruangan storan dalaman. Masalah notifikasi juga masih ada, di mana notifikasi kadangkala tidak diterima atau lambat masuk.

Walaupun begitu, MIUI 13 masih lagi ada perubahan drastik berbanding yang sebelum ini. Ia rasa lebih ringan. Pengalaman saya menggunakan peranti Xiaomi dengan 8GB RAM untuk peranti mercu seperti Mi 11 dan Xiaomi 12 adalah berbeza sekali. Banyak perubahan yang dilakukan untuk memastikan pengalaman penggunaan adalah baik-baik sahaja.

Kamera

Kamera Xiaomi sejak Mi 11 dan Mi 11 Ultra sudah mula memberi hasil yang baik. Xiaomi benar-benar ingin berubah menjadi satu jenama yang boleh bersaing dengan lebih hebat dengan pesaing mereka. Kamera 50+13+5 Megapixel dan ia adalah menakjubkan. Bukan yang terbaik, tetapi untuk Xiaomi ia akan membuatkan anda tidak pejam mata lihat setiap hasil gambar. Bukan itu sahaja, kemampuan fokus juga amat pantas dan tepat kerana sistem CyberFocus yang digunakan.

Sampel di atas adalah kamera utama dengan mod auto, kemudian di bawah adalah sudut ultra lebar dan seterusnya adalah zum. Anda boleh lihat hasilnya adalah cukup baik dan cantik, warna yang menawan, butiran yang jelas lagi memuaskan. Tetapi zum digital memang tidak dapat lawan zum optikal, kerana butiran terus hilang entah ke mana.

Hasil potret juga begitu, ia kelihatan lebih baik. Malah berani saya katakan buat pertama kali saya temui hasil potret yang lebih cantik daripada Pixel 6. Ia kemas, warna terpelihara dan butiran juga terpelihara. Wajah tidak begitu lembut. Untuk potret pada kamera swafoto ia kelihatan baik dan cantik. Tetapi pada mod biasa ada masalah gelap yang aneh dan fokus yang tidak begitu baik.

Mod malam juga kelihatan sungguh hebat dan mengejutkan untuk peranti yang tidak sampai RM3000 mampu memberikan hasil seperti ini. Samsung dan Google Pixel boleh dilupakan untuk hasil sebegini, apatah lagi iPhone?

Akan tetapi hasil ini masih ada masalah, kerana ia tidak konsisten. Banyak kerja yang perlu saya semak untuk memastikan kamera berfungsi dengan baik. MIUI global turut menjahanamkan pengalaman penggunaan kamera kerana sistem kecerdasan buatan yang tidak selalu memberi hasil yang sama. Kadangkala terus terang melampau, kadangkala gelap. Paling saya puji adalah sistem fokus yang sukar untuk ditemui pada peranti lain dalam kategori harga sama.

Kesimpulan

Xiaomi 12 adalah antara peranti mercu yang baik. Ia mempunyai skrin yang cantik, terang dan pantas. Prestasi untuk penggunaan jangka masa pendek setakat ini adalah memuaskan dan tidak ada masalah memanas yang serius. Kamera juga jika matikan AI dan gunakan HDR sahaja adalah memuaskan dan jarang Xiaomi dapat memberi hasil yang berani saya kata menewaskan Pixel.

Bateri untuk penggunaan sekitar satu minggu ini masih mengecewakan, sekitar 4 jam SOT sahaja sama seperti pada Pixel 6 saya. MIUI sahaja masalah serius pada peranti ini yang membuatkan ia satu faktor yang sukar untuk cadangkan kepada orang untuk membeli. MIUI 13 global masih tidak dapat menandingi MIUI China dan entah kenapa dua versi ini perlu dibezakan. Bukannya seperti Vivo yang menggunakan Origin OS dan Funtouch OS. ColorOS pun boleh ada adaptasi untuk Realme UI dan Oxygen OS dan tidak jauh beza di antara semuanya – kenapa MIUI tidak?

Harga jualan RM2,999 untuk model yang saya uji iaitu 8/256 GB dan anda boleh dapat lebih murah jika 8/128 GB pada harga RM2,899 – jimat RM1000 berbanding Xiaomi 12 Pro yang berharga RM3,899. Butiran lanjut akan saya rungkai dalam ulasan akan datang.


Pro

  • Skrin yang cantik dan menawan
  • Kamera yang hebat dan ada potensi untuk menjadi lebih baik
  • Pengecasan pantas 67W
  • Rekaan yang kompak dan mudah dikendalikan
  • Audio yang mantap dan seimbang

Kontra

  • MIUI yang masih aneh dan tidak begitu stabil untuk pengguna global
  • AI kamera yang tidak bijak, kerana hasil yang tidak konsisten
  • Bateri yang agak lemah untuk peranti mercu

komen


© Amanz / 2022 Kami