Kerajaan hari ini telah berkongsi lanjut berkenaan dengan inisiatif Peranti Siswa, iaitu pemberian tablet percuma untuk para pelajar di IPT. Pendaftaran untuk program berkenaan akan dimulakan pada April 2022 ini, dengan pemberian tablet dimulakan sekitar Jun 2022.
Bercakap mengenainya, kerajaan mengatakan mereka tidak akan berkompromi dengan kualiti, dan akan memastikan penyedia peranti menawarkan peranti berkualiti untuk pelajar.
Selari dengannya, spesifikasi asas minima turut telah ditetapkan. Antaranya adalah dari segi skrin, dimana tablet yang diberikan perlu mempunyai saiz minima 10.1-inci.
Disamping itu, ia juga turut perlu menyertakan memori sekurang-kurangnya 4GB RAM. Penyedia peranti turut perlu menawarkan papan kekunci dan stylus bersama tablet berkenaan – bagi memudahkan para pelajar menggunakannya dalam urusan pembelajaran.
Buat masa ini, jenama tablet yang bakal diberikan masih tidak diumumkan lagi.