Samsung Galaxy A73 5G turut dilancarkan hari ini ketika acara Galaxy Awesome Unpacked yang berlangsung sebentar tadi. Walaupun mempunyai rekaan yang sama dengan Galaxy A53 5G dan Galaxy A33 5G, Galaxy A73 5G ialah peranti dengan spesifikasi yang lebih tinggi serta saiz skrin yang lebih besar.

Samsung Galaxy A73 5G dilengkapi skrin 6.7″ FHD+ SAMOLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 778G, memori 8GB RAM, storan 256GB, sokongan kad mikro SD 1TB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan pengecasan 25W.
Sistem kuad-kamera menggabungkan sensor 108+12+5+5 MP dan kamera swafoto pula sebesar 32MP. Kamera utama ini dilengkapi lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan bokeh. Ketiadaan sistem telefoto adalah sedikit aneh memandangkan pada A72 5G tahun lalu terdapat sokongan telefoto zum optikal sehingga 3X. Kamera swafoto di hadapan turut diletakkan di dalam lubang kamera Infinity-O.

Peranti menggunakan sistem operasi Android 12 dengan pelancar One UI 4.1 yang merupakan versi paling terkini. Ini membawakan sokongan RAM Plus sehingga 6GB secara maya sekiranya diperlukan. Peranti juga masih mempunyai kemampuan kalis air IP67 yang adalah jarang diberikan kepada peranti kelas pertengahan.
Satu keputusan Samsung yang pastinya akan menimbulkan kontroversi ialah tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian. Namun begitu sedikit mengejutkan peranti diberikan sokongan versi Android sehingga empat versi dan tampalan sekuriti pula selama lima tahun. Menjadikannya setanding dengan sokongan kemas kini pada siri Galaxy S22.

Tahun lalu Samsung Galaxy A72 menjadi antara peranti pilihan kami di Amanz kerana ia adalah serba lengkap dalam dunia di mana bicu audio, sokongan kad mikro SD dan kemampuan kalis air semakin mula diketepikan. Peranti ditawarkan dalam warna Awesome White, Awesome Blue, Awesome Black, Awesome Peach dan Awesome Mint. Di Malaysia Samsung Galaxy A73 5G dijual pada harga RM2099 (8/256GB) sebuah