Carian
Masalah Kamera Kualiti Rendah Apple Studio Display Hanyalah Pepijat
March 18, 2022 Fahim Zahar

Apple Studio Display adalah monitor terbaru daripada Apple menyasarkan para pencipta kandungan atau mereka yang bekerja dalam bidang suntingan profesional. Akan tetapi menawarkan harga jualan lebih murah berbanding Apple Pro Display XDR. Monitor ini hadir dengan skrin 27.5-inci 5K Retina, True Tone, mempunyai kamer web terbina 12MP dengan Center Stage serta dijana dengan cip Apple A13 Bionic.

Studio Display ini turut boleh digunakan bersama dengan komputer Windows, selain daripada menggunakan dengan peranti macOS atau iPad OS. Akan tetapi kamera tidak akan menyokong Center Stage. Bercakap mengenai kamera, monitor baharu Apple ini dilihat mempunyai hasil kamera yang mengecewakan kerana mempunyai hasil yang rendah kualiti, penuh dengan hingar dan kulit wajah pengguna menjadi terlampau lembut.

Perkara ini ditemui oleh beberapa pengulas yang telah menguji Studio Display lebih awal. Apple telah menyatakan yang masalah kamera dengan hasil kualiti rendah ini hanyalah pepijat dan kemaskini akan diedarkan bagi membaiki masalah kamera ini. Walau bagaimanapun, Apple tidak menjelaskan bilakah kemaskini ini akan diedarkan kepada pengguna sedia ada.

Apple Studio Display boleh dibeli di Malaysia pada harga bermula RM6,999.

Komen