Cari @ Amanz

Jika anda pernah mengharapkan bahawa terdapat sebuah peranti Microsoft Surface Pro yang berkemampuan untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi tinggi, ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer tablet gaming pertama mereka, ASUS ROG Flow Z13 kini sedang ditawarkan di pasaran tempatan.

ASUS ROG Flow Z13 hadir dengan rekaan yang cukup menarik sekali, dimana kesemua komponen-komponen komputer ini dirumahkan dibelakang paparan sesentuh 13 inci dengan nisbah paparan 16:10 yang memberikan pengguna saiz paparan yang lebih tinggi. Dari segi resolusi, paparan ini hadir dengan resolusi 1920×1200 ataupun 3840×2400 bergantung kepada pilihan CPU.

Model dengan resolusi lebih rendah hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 500nit, manakala model dengan resolusi 4K dilihat hadir dengan kadar segar semula 60Hz dan juga nilai kecerahan yang sama.

ASUS ROG Flow Z13 hadir dalam pilihan CPU Intel Core i7-12700H dan Intel Core i9-12900H dan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe Gen4 sebesar 512GB untuk model Intel Core i7 dan 1TB untuk model Intel Core i9.

Konfigurasi GPU yang ditawarkan juga dilihat bergantung kepada pilihan CPU. Model Intel Core i7 dilihat hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050, manakalan CPU Intel Core i9 akan hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti.

Tablet ROG Flow Z13 juga akan hadir dengan papan kekunci terbina yang boleh disambungkan kepada bahagian tablet ini secara fizikal menggunakan magnet ataupun disambungkan secara nirwayar menggunakan sambungan WiFi ataupun Bluetooth.

Untuk kemampuan grafik yang lebih berkuasa, ROG Flow Z13 turut didatangkan dengan modul kad grafik luaran ROG XG Mobile, yang bukan sahaja merumahkan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080, tetapi juga sejumlah besar palam-palam input dan output seperti palam USB 3.2 Type-C, HDMI 2.0b, DisplayPort 1.4, pembaca kad SD dan sebagainya.

ASUS ROG Flow Z13 kini ditawarkan di pasaran tempatan bermula hari ini pada harga tanda harga RM7999 untuk model Intel Core i7 dan NVIDIA GeForce RTX 3050, dan RM8799 untuk model dengan CPU Intel Core i9 dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050Ti. Kedua-dua model ini tidak hadir dengan kad grafik ROG XG Mobile.

Pada bulan April kelak, ASUS Malaysia juga dilihat akan menawarkan model Intel Core i9 ROG Flow Z13 dengan kad grafik ROG XG Mobile pada harga RM15,999. Model ini juga akan tiba dengan tetikus ROG Chakram Core dan juga fon kepala ROG Delta.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd