Carian
Honor MagicBook 16 Bakal Turut Diperkenalkan Pada 29 Mac
March 24, 2022 Amy Maizuraa

Seperti sedia maklum, Honor sedia menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu pada 29 Mac 2022. Melaluinya, mereka bakal hadir dengan sejumlah produk baharu yang tidak hanya terdiri daripada telefon pintar. Sebaliknya, barisan komputer ribanya turut akan dikemaskini.

Melihat perkongsian terkini, Honor MagicBook 16 bakal diumumkan pada acara berkenaan. Ia merupakan sebuah komputer riba dengan skrin bersaiz 16.1-inci yang menyokong paparan Honor FullView Display. Perkongsian yang sama turut memperlihatkan komputer riba ini lengkap dengan saiz bezel yang seimbang pada bahagian atas dan sisi. Tetapi, kewujudan dagu besar pada bezel bawah jelas kelihatan dengan penjenamaan ‘HONOR’.

Tiada spesifikasi utama pada komputer riba yang dikongsi setakat ini. Tetapi, komputer riba ini telah dilancarkan terlebih dahulu di China sebelum ini. Sekiranya ia adalah model yang sama, makanya ia adalah komputer riba yang memfokuskan kepada kerja produktif. Ia juga lengkap dengan skrin 144Hz, pilihan cip AMD Ryzen 7 5800H dipadankan dengan pilihan GPU NVIDIA GeForce GTX 1650 / NVIDIA GeForce RTX 3050 atau AMD Ryzen 5 5600H serta cip grafik terbina sahaja. Bateri pula berkapasiti 56Whr dengan pengecas 65W.

Seperti biasa, ia hanya spekulasi awal sahaja. penawaran lengkap akan diketahui dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Honor Malaysia

Komen