Cari @ Amanz

OnePlus telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu pada penghujung bulan ini. Melaluinya, mereka bakal mengumumkan OnePlus 10 Pro untuk pasaran global. Ia merupakan sebuah peranti dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1 dan terlebih dahulu diumumkan di China kira-kira tiga bulan yang lepas.

Selain daripada telefon pintar, nampaknya aksesori audio OnePlus turut akan dikemaskini pada acara yang sama. Melaluinya, OnePlus Bullets Wireless Z2 akan diperkenalkan dengan rekaan serta kemasan seumpama pendahulunya. Ia berikutan fon telinga ini pernah tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular yang menunjukkannya lengkap dengan set fon telinga jenis dalam-telinga bersama gelung melingkar pada bahagian leher.

Selain itu, ia turut sama menyokong sambungan magnetik, di mana membolehkan muzik main balik akan terpadam secara automatik apabila kedua-dua fon telinga disambungkan. Tidak banyak maklumat berkaitan aksesori ini yang dikongsi. Namun, ia dikhabarkan hadir dengan penawaran harga yang berpatutan. Dalam pada itu, ia juga akan didatangkan dalam dua kemasan warna seperti biru dan hitam. Spesifikasi lengkap akan diketahui dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : OnePlus Global

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd