Jun 2021, Spotify telah mengambil-alih syarikat podsiar Podz. Ia adalah syarikat yang pakar dalam memberikan saranan podsiar kepada pendengar dengan menggunakan pembelajaran mesin. Melalui Podz, setiap podsiar telah dipotong menjadi klip audio pendek sebagai acah kepada pengguna sama ada ingin terus mendengar ataupun tidak.
Terkini, Spotify dilihat telah mula mengintegrasikan ciri daripada Podz ini dalam aplikasi mereka. Dalam Spotify apabila ikon Podcast ditekan, paparan seakan TikTok akan diberikan di mana pengguna boleh menatal secara menegak untuk memilih podsiar yang diminati. Setiap podsiar yang terpapar akan mempunyai klip audio pendek bersama transkripsi teks. Setiap klip ini dikatakan dipotong menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
Setiap podsiar yang terpapar mempunyai butang main dan “+” tambah untuk sama ada teruskan mendengar atau tambah dalam senarai Your Episode.
Ciri ini masih dalam ujian dan hanya segelintir pengguna sahaja dapat melihatnya. Kami rasakan mereka yang aktif menggunakan Spotify untuk mendengar podsiar mungkin antara yang layak. Ia juga dilihat adalah ujian daripada bahagian pelayan dan tidak pasti jika ciri ini akan diberikan kepada semua orang dalam bentuk sama atau akan ada perubahan.