Acara global Redmi hari ini bukan sahaja memperlihatkan tiga peranti baharu, tetapi peranti lama dengan variasi baharu turut diperkenalkan. Selain daripada Redmi Note 11 Pro+ 5G, Redmi 11S 5G dan Redmi 10 5G, Xiaomi Malaysia turut mengumumkan Redmi Note 11 edisi Fan Festival khusus untuk peminat dan jualan atas talian.
Peranti ini adalah sama sahaja dengan Redmi Note 11 sebelum ini, tiada beza langsung kecuali dari segi pilihan warna.

Skrin adalah 6.43-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz, peranti dijana dengan cip Snapdragon 680, hadir dengan tetapan kuad-kamera daripada sensor 50+8+2+2 Megapixel, kamera swafoto 13MP dan masih kekal menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 11. Speaker stereo, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari sisi, NFC, sensor IR semua masih sama dengan bateri 5000mAh bersama pengecsan 33W.
Redmi Note 11 sebelum ini menawarkan pilihan warna Graphite Gray, Twilight Blue atau Star Blue. Kali ini warna yang ditawarkan adalah Twilight Blue dengan logo XFF sebagai tanda Xiaomi Fan Festival. Itu sahaja membezakan model ini dengan Redmi Note 11 lain. Harga jualan adalah RM749 dan terhad dengan variasi 4/128 GB sahaja. Jualan akan bermula pada 6 April akan datang di Lazada dan Shopee rasmi. Mereka yang terawal akan menerima baucar RM50 untuk membeli peranti pada harga RM699.