GSC agak aktif dalam penggunaan sejumlah teknologi dan kerjasama dalam memastikan orang ramai dapat mengikuti kandungan hiburan dengan mudah. Sebelum ini, GSC sedia bekerjasama dengan GogoCinema, dan terbaru mereka dilihat bekerjasama dengan pihak GetPlay dalam menawarkan perkhidmatan penstriman tersendiri.

Dinamakan sebagai GSC Now, pihak GSC mengatakan ia bakal membolehkan pengguna strim kandungan kegemaran melalui peranti pintar kegemaran mereka.
Buat masa ini, pihak GSC telah menambah tab khusus pada aplikasi mudah-alih mereka, selain menyediakan laman sehenti pada web mereka. Info penuh masih tidak dikongsikan lagi. Namun, semakan pada GetPlay – rakan kerjasama GSC Now, ia memberikan gambaran kasar bagaimana ia berfungsi.
Melalui aplikasi GetPlay – ia turut menyediakan tab khas dinamakan GSC Now, dengan paparan beberapa filem popular, seperti Kungfu Yoga, CZ12, The Last Witch Hunter dan sebagainya. Untuk makluman semua, GSC turut mempunyai subsidiari GSC Movies yang mengedarkan sejumlah filem untuk pasaran tempatan.

Ia menggunakan konsep “tiket” untuk membolehkan anda strim sesuatu filem. Anda boleh membeli 10 tiket pada harga RM5, dan menggunakan tiket berkenaan untuk menonton filem. Sebagai contoh, untuk menonton “The Last Witch Hunter”, anda perlukan dua tiket.
Aplikasi GetPlay juga dilihat memberikan sejumlah kandungan lain yang boleh ditonton percuma melalui aplikasi berkenaan.
Buat masa ini, pihak GSC tidak menyatakan lagi bilakah pelancaran rasmi GSC Now akan dilakukan. Sama-sama kita nantikan bilakah pihak GSC akan melancarkan perkhidmatan penstriman mereka secara rasminya.