Kos menggantikan peranti yang mengalami kerosakan adalah tinggi dan ramai percaya ia boleh dikurangkan jika dilakukan sendiri di rumah. Tetapi secara lazimnya pengeluar tidak berkongsi manual dan komponen asli dengan pengguna maka proses menggantikan komponen perlu dilakukan menerusi pihak ketiga. Samsung hari ini melancarkan program membaiki sendiri peranti di rumah dengan bantuan iFixit.

iFixit akan menerbitkan manual lengkap bagaimana pengguna boleh membaiki sendiri kerosakan pada peranti Samsung di rumah mereka. Peralatan dan komponen yang diperlukan akan dijual kepada pengguna secara terus. Program akan dimulakan pada musim panas ini untuk peranti Samsung Galaxy S20, Galaxy S21 dan Galaxy Tab S7 Plus dengan cara membaiki skrin, panel belakang dan port pengecas terlebih dahulu.
Lebih banyak peranti dan komponen lain akan ditambah ke dalam program di masa hadapan. Pada waktu ini program hanya ditawarkan di Amerika Syarikat sahaja. Ini merupakan kerjasama kedua iFixit dengan pengeluar kerana pada tahun 2018 mereka melakukan perkara yang sama dengan Motorola.