Carian
Ulasan Honor X9 5G – Perlukan Lebih Faktor X
April 9, 2022 Effi Saharudin

Honor aktif menawarkan peranti baharu mereka sejak bergerak bebas dari Huawei. Di Malaysia tiga lagi peranti dilancarkan minggu ini dengan Honor X9 5G ialah model yang paling mercu di antara X7, X8 dan X9 4G. Peranti mempunyai rekaan yang mirip dengan Huawei Mate 30 kerana kamera utama diletakkan di dalam bonggol berbentuk bulat tetapi dengan spesifikasi kelas pertengahan.

Rekaan menarik dipadankan dengan spesifikasi kelas pertengahan. Adakah ini mencukupi dan adalah faktor X yang membuatkan Honor X9 5G peranti yang boleh bersaing dengan pasaran yang kini sudahpun dibanjiri terlalu banyak peranti walaupun kita masih hanya di bulan April 2022?

Spesifikasi Dan Rekaan

Honor X9 5G
Skrin6.81″ IPS LCD,
FHD+, 120Hz
PemprosesSnapdragon 695 5G (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 3.1
Kamera Utama48+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.4
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri4800 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1299 (8/128GB)

Skrin 6.81″ yang digunakan adalah amat besar yang membuatkannya sedap digunakan untuk menonton video dan melayari laman web. Kenikmatan hanya dicantas oleh panel yang masih menggunakan teknologi LCD yang menyebabkan warna kurang menyerlah dan sukar untuk membaca skrin di bawah cahaya matahari yang terang. Kita kini di bulan April dan hampir sepanjang masa matahari seakan sejengkal di atas kepala. Maka skrin kurang terang ini amat menyusahkan apabila digunakan di luar.

Bezel peranti adalah nipis kecuali pada bahagian bawah yang sedikit tebal. Ia tidak begitu mengganggu kerana ini ialah rekaan standard peranti dalam kelas pertengahan ekonomi. Skrin juga rata yang kami cukup suka. Sebuah takuk diletakkan di bahagian atas bagi meletakkan sebuah kamera swafoto.

Kelemahan ini hanya terubat kerana skrin menyokong kadar segar semula 120Hz yang membuatkan penggunaan peranti terasa lancar. Kemudian ini dicantas sekali lagi seperti Roy Keane ke atas Alf Inge Haaland kerana tiada sebarang sokongan HDR. Adalah merugikan sebenarnya kerana cip Snapdragon 695 yang menjadi enjin kepada peranti boleh menyokong HDR. Tiada faktor X pada prestasi skrin di sini.

Rekaan juga agak mengecewakan kerana panel belakang plastik yang terasa amat plastik. Apabila diketuk terasa rompong. Kemudiannya panel belakang ini juga berkilat yang menyebabkan ia mudah kotor. Pada hemat kami alang-alang panel plastik digunakan, silalah gunakan kemasan kasar seperti Samsung. Tidak cepat kotor dan kasar membuatkan ia lebih selesa dipegang.

Bonggol pada bahagian belakang peranti adalah lebih ekstrem kerana saiznya yang besar. Nasib baik hanya besar tetapi tidak terlalu tinggi. Oleh sebab itu peranti masih boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa menggunakan sebuah kerangka. Bonggol besar tetapi tri lensa kamera diletakkan di belakang sekeping panel kaca bulat yang besar. Jadi sedikit merisaukan jika kaca besar ini pecah kesemua kamera akan dilindungi panel yang kini sudah berderai.

Bingkai logam memastikan tubuh peranti tegap dan tidak terasa seperti mudah bengkok. Ia juga dibulatkan bagi memastikan tangan selesa semasa menggenggam. Terdapat sebuah butang kuasa besar merangkap pengimbas cap jari fizikal dan laras audio pada sisi kanan. Pengimbas cap jari berfungsi dengan amat pantas dan paling penting sekali tanpa sebarang isu. Binaan kesemua butang adalah kukuh seperti bingkai peranti.

Peranti tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air atau tahan lasak. Sebuah kerangka lutcahaya diperbuat daripada bahan silikon diberikan dengan setiap pembelian bagi menawarkan satu lapisan pertahanan sekiranya terjatuh ke atas lantai.


Penggunaan Dan Perisian

Pelancar Magic UI 4.2 digunakan dengan ia adalah berasaskan sistem operasi Android 11. Ini adalah mengecewakan kerana kita sudahpun di bulan April. Penggunaan versi Android yang satu generasi ke belakang tidak sepatutnya berlaku lagi pada tahun 2022. Samsung dan Oppo menawarkan peranti kelas pertengahan mereka dengan Android 12 jadi apakah alasan Honor? Dari segi penggunaan ia tiada beza langsung dengan pengalaman kami menggunakan Honor 50 Lite yang diulas tahun lalu.

Rekaan antaramuka adalah amat mirip dengan EMUI walaupun sudah lebih setahun Honor meninggalkan Huawei. Satu kelebihan peranti Honor ialah terdapat sokongan untuk Google Mobile Services. Kesemua perkhidmatan Google termasuk Play Store, YouTube, Gmail, dan banyak lagi.

Tiada isu perisian tetapi isu rekaan antaramuka yang masih tidak mempunyai identiti sendiri adalah mengecewakan. Untuk Honor benar-benar berdiri dengan kaki sendiri mereka perlu segera menawarkan pelancar dengan antaramuka unik mereka sendiri dalam masa terdekat. Berita baiknya di sini ialah Magic UI berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah dibantu oleh skrin yang menyokong kadar segar semula 120Hz.


Penanda Aras

Cip Snapdragon 695 menggunakan teknologi 6nm yang meletakkannya setanding dengan MediaTek Dimensity 900 dan Exynos 1280. Ia hadir dengan dua teras Kryo 660 Gold (Cortex A78) pada kelajuan 2.2 GHz dan enam teras Kryo 660 Silver (Coretx A55) pada kelajuan 1.8GHz yang dipadankan dengan GPU Adreno 619. Hanya 8GB RAM LPDDR4x disertakan tetapi tidak hadir dengan sebarang ciri penambahan memori secara maya manakala storan pula adalah 128GB. Storan yang sederhana besar ini tidak boleh ditambah kerana tiada slot untuk kad mikro SD.

Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan markah yang dicatatkan adalah seperti berikut.

  • Geekbench 5 – 671/1921 Markah
  • Antutu 3D – 393,339 Markah

Markah yang dicatatkan adalah sederhana sahaja. Di bawah Dimensity 920 yang mencatatkan 813/2314 markah dalam Geekbench 5 dan 494,818 markah dalam Antutu 3D. Dari segi prestasi peranti masih agak lancar cuma terdapat sedikit lengah masa apabila melakukan pertukaran aplikasi. Tidak sepantas yang dapat kami nikmati pada peranti mercu.

Prestasi permua juga sederhana sahaja dengan majoriti permua 2D boleh dimainkan pada tetapan tinggi dan permua grafik tinggi seperti COD Mobile dimainkan pada tetapan sederhana sahaja. Peranti tidak sekadar menjadi suam selepas habis sesi permua yang panjang.


Telefoni dan GPS

Peranti menyokong rangkaian 5G tetapi bukan yang ditawarkan di Malaysia kerana masih belum disokong DNB. Kesemua ulasan adalah menggunakan rangkaian 4G sahaja dan ia adalah memuaskan. Internet atas talian LTE juga pantas apabila isyarat adalah kuat. Tiada sebarang isu kecuali apabila berada di kawasan dengan rangkaian 4G yang lemah tetapi ini salah syarikat telko bukannya Honor. Sistem GPS juga berfungsi baik dengan masa diambil untuk mengesan lokasi adalah pendek. Aplikasi GPS yang kami gunakan kesemua berfungsi tanpa sebarang isu.


Kamera

Sistem tri-kamera 48+2+2 MP diletakkan di dalam bonggol bulat yang besar dengan di hadapan pula terdapat kamera swafoto sebesar 16MP. Sistem kamera yang digunakan hanyalah sudut lebar, makro dan kedalaman. Tiada langsung lensa ultra sudut lebar seperti pada Honor 50 Lite sebelum ini. Kami kini sukar menerima peranti yang tidak mempunyai lensa ini kerana kini sudah menjadi tahap perlu pada peranti kelas pertengahan sekalipun.

Prestasi kamera adalah sederhana juga seperti spesifikasinya. Penghasilan semula warna yang kurang menyerlah dan kualiti gambar bergantung kepada situasi pencahayaan. Jika pencahayaan baik dan subjek di bilik yang terang, gambar yang diambil adalah memuaskan sahaja. Lihat sahaja sampel-sampel di bawah. Tangan yang mengambil gambar haruslah stabil lebih-lebih lagi apabila menggunakan mod malam kerana sensor tidak hadir dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS).

Gambar mod malam tidak begitu tajam dengan isu colour bleeding dan hingar yang ketara. Mod makronya pula juga gimik kerana sensor 2MP langsung tidak boleh menghasilkan gambar yang memuaskan.

Bateri

Beteri berkapasiti 4800 mAh adalah saiz yang serasi dengan peranti. Dalam penggunaan yang konservatif, kami mampu menikmati SOT sehingga 8 jam dengan bateri bertahan sehingga 21 jam dengan sekali caj. Dalam penggunaan yang lebih berat SOT mencecah 10 jam dengan bateri bertahan sehingga 13 jam sahaja. Ini adalah prestasi bateri yang sederhana. Dengan pengecasan 66W berwayar, isu bateri yang tidak begitu bertahan lama ini tidak menjadi isu besar. Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 50 minit sahaja.


Audio

Speaker sekadar mono dan tiada sokongan sistem Dolby Atmos. Speaker diletakkan di bahagian bawah peranti sahaja. Seperti kemampuan fotografi, kemampuan audio X9 5G adalah sederhana sahaja. Untuk pengalaman audio terbaik pengguna perlu menggunakan aksesori audio luaran.


Pesaing

Honor X9Realme 9 ProRedmi Note 11 Pro 5G
6.81″ IPS LCD, 1080 x 2388, 120Hz, (385 ppi)6.6″ IPS LCD, 1080 x 2412, 120Hz, (400 ppi)6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, HDR10+, (400 ppi)
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 (6nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver
Adreno 619Adreno 619Adreno 619
8 GB LPDRR4x8 GB LPDDR4x8 GB LPDDR5
128 GB UFS 2.2
128GB UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)

128 UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
108+8+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioBicu audioBicu audio
Audio MonoAudio MonoAudio Stereo
4800 mAh (Berwayar 66W)5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 67W)
Harga RM1299Harga RM1199Harga RM1299

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Honor X9 5G
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 66W USB-A ke USB-C
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Honor X9 ialah sebuah lagi peranti kelas pertengahan dengan cip Snapragon 695. Tidak banyak perkara positif yang boleh kami berikan mengenai X9. Skrinnya besar untuk menonton video dengan selesa serta 120Hz dan sistem pengecasan peranti juga amat pantas. Honor tidak lokek memberi pengecas 66W dengan setiap pembelian bersama dengan sebuah kerangka polikarbonat. Rekaan tubuh kukuh dengan pengimbas cap jari fizikal yang pantas.

Sampai di situ sahaja perkara positif yang boleh kami berikan. Sistem operasi masih lagi Android 11. Tak boleh dimaafkan. Seterusnya prestasi kamera yang sederhana tanpa lensa ultra sudut lebar yang ditawarkan peranti pesaing. Bateri juga sederhana.

Pendek kata kesemuanya mengenai Honor X9 5G adalah sederhana. Tiada langsung faktor X yang membuatkan kami boleh sarankan peranti ini kepada anda. Jika anda tidak perlukan 5G dan mahu menjimatkan lagi wang, Honor 50 Lite adalah pilihan lebih bijak. Alternatif kepada Honor X9 ialah Realme 9 Pro dan Redmi Note 11 5G yang ditawarkan pada harga setanding.

Pro

  • Skrin besar dengan sokongan 120Hz.
  • Snapdragon 695 menyokong 5G.
  • Rekaan tubuh yang kukuh.
  • Pengecas pantas 66W diberikan dengan setiap pembelian.

Kontra

  • Masih Android 11.
  • Tiada lensa ultra sudut lebar.
  • Audio mono.
  • Tiada slot kad mikro SD.

Komen