Redmi Note 11 Pro+ 5G adalah peranti terbaru dalam keluarga Redmi Note 11 yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini. Walaupun peranti ini kelihatan lebih kurang sama dengan Redmi Note 11 Pro 5G, seperti skrin 6.67″ AMOLED 120Hz dan kamera 108MP, cip pemprosesan adalah lebuih berkuasa dengan MediaTek Dimensity 920. Memori juga adalah 8GB RAM dan tiada pilihan 6GB RAM.
Peranti ini juga adalah peranti Redmi pertama yang hadir dengan pengecasan pantas HyperCharge 120W dan di Malaysia ia dijual pada tanda harga RM1,499 untuk model 8/128 GB dan RM1,599 untuk 8/256 GB. Sistem operasi yang dijanjikan pula adalah MIUI 13 berasaskan Android 11.
Akan tetapi, pengguna di Malaysia kelak akan menerima peranti ini dengan MIUI 12.5 dan pihak Xiaomi Malaysia menyatakan MIUI 13 perlu dikemaskini sendiri. Notifikasi kemaskini akan diberikan sebaik sahaja peranti dikeluarkan dan selesai menetapkan akaun, pemindahan data dan lain-lain. Ini berbeza dengan Redmi Note 11 lain yang hadir terus dengan MIUI 13.