Boeing 747 mendapat gelaran Ratu Angkasa kerana ia merupakan pesawat penumpang terbesar dunia untuk berdekad lamanya sebelum dipintas Airbus A380. Pesawat ini telahpun dihentikan pengeluarannya oleh Boeing pada tahun 2020 dan kini satu demi satu pesawat yang semakin usang dibersarakan.

Salah satu daripadanya akan memulakan kehidupan baharu menjadi sebahagian struktur bangunan di Seattle, Amerika Syarikat. Konsep rekaan bangunan The Galleria at WB 1200 akan menggunakan keseluruhan tubuh sebuah Boeing 747 untuk menyambungkan dua sayap bangunan. Hanya tubuh dan sebahagian roda akan dikekalkan.

Selain menjadi penyambung dua bangunan, ruangan dalaman pesawat turut berfungsi sebagai ruang pejabat dan galeri seni. Keseluruhan bangunan ini akan mempunyai 1000 unit tempat tinggal dengan bahagian bawah berfungsi sebagai pusat komersial.

Pesawat 747 diambil oleh firma rekaan OSO kerana syarikat Boeing mempunyai sejarah yang lama dengan bandaraya ini kerana kilang pesawat terbesar dunia di Everett hanya 45 kilometer dari Seattle. Di Malaysia jika anda ingin melihat kapal terbang dalam bangunan, anda boleh pergi ke Mutiara Damansara kerana kokpit sebuah A320 diletakkan di Kidzania.