Cari @ Amanz

Digital Nasional Berhad sebelum ini telah menyasarkan pengenalan sokongan rangkaian 5G untuk sejumlah peranti – termasuk iPhone menjelang suku pertama 2021. Namun, kini 3 bulan pertama berlalu pergi, dan sokongan 5G masih dinantikan ramai pengguna pada peranti-peranti yang digunakan mereka.

Buat masa ini, pihak Samsung telah menyatakan peranti-peranti mereka akan menerima sokongan berkenaan secara berperingkat, sementara jenama lain masih mendiamkan diri.

Sebelum ini, pihak DNB pernah menerangkan berkenaan pengesahan ini, dan mengatakan DNB tidak memberi perakuan atau meluluskan peranti 5G, sementara mereka sekadar menyediakan kemudahan untuk peengilang menjalankan ujian seperti ujian statik awal, dan beberapa lain supaya peranti mereka boleh dikonfigurasikan dan perisian dikemaskini agar serasi dengan rangkaian 5G tempatan.

Pihak DNB juga meminta pengguna menghubungi penyedia perkhidmataan telekomunikasi tempatan untuk maklumat lanjut tentang ketersediaan peranti 5G di Malaysia.

Melalui laman sehenti yang tidak dikemaskini lagi, DNB masih memaparkan sasaran suku pertama 2022 untuk sokongan rangkaian 5G pada sejumlah peranti – termasuk Apple, Motorola, Asus, Samsung dan TCL. Malah, sejumlah telefon pintar 5G terbaru yang dilancarkan pada tahun ini masih tidak tersenarai pada peranti yang disokong rangkaian 5G di Malaysia.

Rangkaian 5G kini boleh digunakan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya – serta hanya Yes sahaja yang menawarkan rangkaian berkenaan kepada pengguna buat masa ini. Syarikat telekomunikasi lain masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan pengenalan – termasuk TM.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd