Terdapat banyak aplikasi penstriman yang boleh dimuat turun pada peranti pintar anda sekarang. Tetapi raja penstriman audio pada waktu ini ialah Spotify yang masih mempunyai ratusan juta pengguna bulanan walaupun dilanda pelbagai kontroversi kebelakangan ini. Ratusan juta pengguna tetapi kami yakin ramai yang tidak mengetahui pelbagai ciri yang tidak diiklankan. Maka hari ini mari gunakan ciri-ciri menarik tetapi tersorok bagi menjadikan anda seorang Sifu Spotify!
1.Halang Lagu Dengan Lirik Cacian Atau Lucah
Di bulan puasa ini anda mungkin tidak mahu mendengar lagu-lagu yang mengandungi lirik berbentuk cacian atau lucah sebagai tanda hormat. Untuk menapis kandungan ni juga mudah. Pergi ke Settings > Playback > Allow Explicit Content dan matikan ciri ini. Dengan ini telinga anda terlindung dari melakukan dosa secara tidak sengaja.
2.Dengar Lagu Pada Kadar Bit Lebih Tinggi
Ini perkara pertama kami lakukan apabila aplikasi Spotify dipasang pada peranti baru. Sekiranya anda mempunyai aksesori audio yang menyokong kadar bit tinggi, anda mahukan audio dari Spotify dimainkan pada tetapan paling bagus. Contoh terbaik anda pengguna Android dengan fon kepala yang menyokong LDAC. Untuk aktifkan ciri ini adalah amat mudah. Pergi ke Settings > Audio Quality. Lakukan perubahan pada tetapan penstriman selular dan WiFi ke Very High untuk kualiti audio terbaik. Kualiti audio yang dimuat turun juga boleh diubah ke lebih tinggi menerusi Settings > Audio Quality > Downloads.
3.Jimatkan Penggunaan Data
Tetapi anda tidak pedulikan kualiti dan lebih mementingkan penjimatan data kerana tidak melanggan kepada kuota selular yang besar. Untuk menjimatkan data pergi ke Settings > Data Saver > Audio Quality. Aktifkan pilihan ini untuk mengehadkan kualiti audio ke 24 kbit/s sahaja dengan kanvas yang menunjukkan kulit album tidak akan dipaparkan.
4.Menghalang Lagu Dari Artis Tertentu
Ada artis yang anda benci kerana pernah terpalit dengan skandal yang menjijikkan atau memang benci dengan karya mereka? Jika ya anda sebenarnya boleh menghalang lagu-lagu dari artis tertentu dari muncul secara rawak ketika menggunakan ciri Radio. Pergi ke profil peribadi artis. Tekan butang tiga titik dan kemudian pilih Don’t play this artist. Selepas ini tiada lagi masalah termain lagu R Kelly misalnya dan menyumbang wang kepada penyanyi yang didapati bersalah dalam perdagangan manusia.
5.Cari Lagu Tertentu Dari Senarai Main
Kami sudah melanggan Spotify sejak hampir sedekad yang lalu. Sepanjang tempoh ini ribuan lagu telah kami Liked dan disimpan oleh Spotify dalam senarai main Liked Songs. Kerap kali terfikir ingin mendengar lagu dari genre atau artis tertentu sahaja. Proses ini sukar kerana senarai Liked Songs terlalu panjang. Untuk mencari lagu tertentu dari senarai Liked anda hanya perlu pergi ke senarai ini dan kemudiannya tatal ke atas. Kotak carian akan kemudiannya muncul dan masukkan carian anda. Ciri ini juga boleh dilakukan pada kesemua senarai main di dalam Spotify dan tidak terhad kepada Liked Songs sahaja.
6.Buang Animasi Latar Belakang Semasa Muzik Dimainkan
Spotify memberikan latar belakang video animasi sejak beberapa tahun yang lalu. Selalunya ia adalah klip dari muzik video lagu yang berulang-ulang. Ramai juga yang kami sedari kurang suka dengan ciri ini. Anda boleh mematikan latar belakang beranimasi dengan Settings> Playback > Canvas. Matikan pilihan Canvas dan hanya gambar muka kulit album akan dipaparkan.
7.Sleep Timer – Hentikan Penstriman Selepas Tempoh Tertentu
Kami mempunyai tabiat mendengar lagu sebelum tidur. Kadang kala secara tidak sengaja lagu berjaya mendodoikan kami sehingga tertidur. Spotify terus bergerak dan bila tersedar dari lamunan mimpi, puluhan lagu sudah distrim sehingga menghabiskan kuota data. Untuk mengelakkan ini dari berlaku di masa hadapan, anda boleh mengaktifkan Sleep timer. Pada skrin lagu yang sedang distrim, tekan menu tiga titik. Tatal sampai ke bawah dan anda akan dapat melihat pilihan Sleep timer. Pilih untuk menghentikan audio selepas 5, 10, 15, 30, 45, 60 minit atau selepas habisnya lagu.
8.Group Session – Menghasilkan Senarai Main Bersama Rakan
Katakanlah secara hipotetikal anda dalam perjalanan pulang ke kampung di akhir Ramadan kelak. Pulang pula bersama tiga lagi rakan. Setiap penumpang ingin menjadi DJ dan memilih lagu yang ingin didengar. Sebelum ini caranya ialah memberikan satu telefon kepada penumpang yang kemudiannya menambah muzik secara satu persatu. Ini menyebabkan telefon tidak di dalam tangan dan adalah berbahaya kepada privasi.
Gunakan Group Session yang lebih selamat. Mulakan penstriman satu lagu. Dari skrin lagi tekan butang speakera pada bucu bawak kiri. Dari sini pilih Group Session dan jemputlah kawan-kawan anda dengan pautan yang boleh dikongsi ke beberapa platform media sosial dan aplikasi pemesejan. Mereka kini boleh menukar, mengawal, menambah dan membuang lagi dari senarai main terus dari peranti peribadi.
9. Buang Kesemua Lagu Yang Dimuat Turun
Anda sudah muat turun ribuan lagi sehingga menyebabkan storan pada peranti hampir penuh. Proses membuang lagu adalah sukar sekiranya ia diletakkan dalam beberapa senarai main berbeza. Sekiranya anda ingin membuang kesemua lagu secara pukal anda hanya perlu ke Settings > Storage > Remove all downloads. Anda juga boleh membersihkan cache dengan pilihannya di bawah Storage juga.
10. Memindahkan Senarai Lagi Dari Spotify Ke Platform Lain
Mungkin anda sudah tidak lagi mahu melanggan kepada Spotify atas sebab kewangan atau peribadi. Anda sebenarnya boleh mengeksport kesemua senarai main dan lagu-lagu yang telah di-Liked ke platform lain sekiranya ingin dilakukan. Caranya agak panjang jadi kami pautkan sahaja tutorial yang telah kami tulis sebelum ini di bawah.