Rokok Elektronik Dan Vape Wajib Mempunyai Perakuan SIRIM Selepas Ini

Diterbitkan pada Apr 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada pelitup muka bukan perubatan, kini kerajaan turut telah mewartakan untuk memastikan peranti rokok elektronik atau vape – yang dihasilkan mahupun diimport untuk memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

KPDNHEP memaklumkan yang mana perintah ini akan berkuat-kuasa pada 3 Ogos 2022 ini.

Langkah ini sekaligus mewajibkan pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik atau vape untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS.

Penandaan MS SIRIM juga hendaklah diletakkan pada rokok elektronik, alat ganti atau pada bekas peranti agar mudah dilihat pengguna. Ia sekaligus akan memperlihatkan peranti berkenaan mematuhi piawaian dan selamat digunakan – sekaligus mengurangkan peranti yang tidak berkualiti di pasaran.

Sekiranya disabit kesalahan, ia boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM200,000 bagi syarikat, manakalah individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kerajaan juga sedang melihat untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik dan vape kepada mereka yang lahir selepas 2005.

komen


© Amanz / 2022 Kami