Salah satu jenaka yang sedia lama berpanjangan pada laman sosial Twitter adalah penambahan butang “Edit” atau penyuntingan selepas menerbitkan sesuatu Tweet. Kini, setelah sekian lama, pihak Twitter mengesahkan mereka akan menambah butang “Edit” dalam masa beberapa bulan lagi.
Twitter mengatakan mereka akan memulakan ujian melibatkan pelanggan berbayar Twitter Blue tidak lama lagi untuk ciri penyuntingan Tweet ini.

Melalui sebuah gambaran ringkas yang diperlihatkan, ia menunjukkan pengguna boleh memilih untuk melakukan penyuntingan Tweet berkenaan selepas ia diterbitkan.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada ia akan menyertakan had masa atau sebaliknya. Sebelum ini, Twitter tidak menambah butang penyuntingan pada Tweet, kerana takut akan sesuatu Tweet itu diubah maksud selepas ia popular dan menerima Retweet yang tinggi – sekaligus membawa maksud sebenar yang berbeza.

Apa pun, ia tidak diketahui mengapakah Twitter kini pertimbangkan untuk menyertakannya. Beberapa spekulasi sebelum ini menunjukkan Twitter mungkin memberikan penangguhan sekitar beberapa saat sebelum ia diterbitkan untuk membolehkan pengguna melakukan semakan semula – lebih kurang seperti mana beberapa perkhidmatan emel beroperasi pada hari ini.
Kini, selepas Elon Musk melakukan undian secara terbuka, pihak Twitter sendiri mengesahkan perkara ini – dan turut menekankan yang mana pengenalan ciri ini tidak disebabkan oleh bancian oleh pemilik saham terbesar Twitter berkenaan.