Google Akan Menyembunyikan Aplikasi Yang Tidak Dikemaskini Oleh Pembangun Dalam Play Store

Diterbitkan pada Apr 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Semalam telah kami laporkan yang Google akan memberi amaran pada peranti Android yang menjalankan aplikasi dengan binaan 32-bit. Ini adalah bagi meneruskan usaha untuk fokus dengan aplikasi 64-bit serta memudahkan lagi pembangun mengemaskini aplikasi mereka.

Tidak mengejutkan jika aplikasi yang sudah usang, lama tidak dikemaskini dan tidak lagi digunakan orang ramai bersepah dalam gudang aplikasi Google Play. Bermula November 2022 akan datang, Google akan menyembunyikan aplikasi ini kepada pengguna. Aplikasi yang akan disembunyikan ini adalah untuk yang tidak menyokong dua generasi Android ke atas.

Ini akan berlaku kepada pengguna baharu sahaja, iaitu untuk mereka yang tidak pernah beli, muat turun dan pasang aplikasi tertentu. Pengguna ini tidak akan dapat cari atau lihat aplikasi ini disenaraikan di Play Store. Tetapi pengguna yang sudah ada rekod pernah memasang aplikasi ini akan masih boleh lihat dan muat turun terus daripada Play Store, tidak kira selepas format peranti atau menggunakan peranti baharu.

Pemasangan APK juga masih tidak menjadi masalah, jika ia masih boleh dicari di dalam arkib internet. Tujuan Google lakukan ini adalah, untuk menjamin privasi dan sekuriti pengguna. Banyak aplikasi yang tidak dikemaskini oleh pembangun atau yang sudah berhenti pembangunannya ada potensi merbahaya kerana tidak mengikut polisi terkini.

Aplikasi baharu juga pembangun perlu memastikan setiap tahun ia akan menyokong Android versi baharu jika mereka tidak ingin aplikasi disembunyikan.

komen


© Amanz / 2022 Kami