Cari @ Amanz

Xiaomi 12 Menerima Skor Sebanyak 123 Di DXOMark – Menewaskan iPhone 12 Mini

Link Copied!

Xiaomi 12 adalah peranti mercu terbaik yang bersaiz kompak pada hemat saya. Peranti ini dijual pada harga bermula RM2,899, ia dijana dengan Snapdragon 8 Gen 1, menggunakan skrin AMOLED FHD+ dengan sokongan 120Hz, kamera 50MP, dan turut mempunyai pengecasan pantas 67W.

Kemampuan kamera peranti ini dilihat semakin tahun semakin baik. Dalam ujian DXOMark terkini, Xiaomi 12 dilihat menerima skor sebanyak 123 untuk kamera utama. Skor ini adalah sedikit lebih tinggi berbanding Xiaomi Mi 11 tahun lepas yang menerima skor hanya 120. Ini meletakkan Xiaomi 12 berada di tangga ke-33, di bawah Samsung Galaxy S21 Ultra dan di atas iPhone 12 Mini. Xiaomi 12 turut tewas dengan Samsung Galaxy S22 yang menerima skor sebanyak 126.

Menurut DXOMark, Xiaomi 12 mempunyai pakej kamera keseluruhan yang baik berserta kemampuan rakaman video yang memuaskan. Peranti ini mampu mengambil imej landskap dengan pendedahan cahaya yang baik, mempunyai keseimbangan warna putih yang elok, mampu menghasilkan warna yang menarik pada sudut ultra lebar, mempunyai fokus yang hebat dan video yang stabil. Namun, warna biru dilihat terlampau cerah, dengan ada kesan hingar pada mod malam dan kadangkala mengalami kesan ghosting pada hasil imej. Video juga tidak begitu baik pada waktu malam.

Sehingga hari ini, Xiaomi Mi 11 Ultra adalah peranti Xiaomi dengan skor tertinggi di DXOMark iaitu 143 dan masih berada di tangga ke-3.


Komen ()