Semalam tular isu kerajaan akan memerlukan pelitup muka mempunyai sijil SIRIM untuk dijual di Malaysia. Tetapi hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penangguhan penguatkuasaannya ke 1 Januari 2023 daripada tarikah asal 4 Julai 2022 selepas menerima reaksi negatif dari orang ramai.

Antara isu yang merisaukan orang ramai ialah kenaikan harga jualan pelitup muka yang masih lagi mandatori pemakaiannya apabila di luar. Kerajaan turut menekankan yang mana kegagalan mematuhi perintah ini boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM200,000, manakala untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi sebanyak RM500,000.
Bagi individu pula, denda akan dikenakan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.